#PrayForMH370

#PrayForMH370

Wednesday 21 August 2013

Pembangkang Lepas Tangan Isu KUIN



Alor Setar: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir membidas sikap pembangkang yang hanya suka bercakap kosong, tetapi tidak membantu menyelesaikan masalah Kolej Universiti Insaniah (KUIN). 

“Saya tak perlu jawab apa yang mereka (pembangkang) nak kata sebab tumpuan utama kita selaku kerajaan adalah menyelesaikan masalah KUIN secara berperingkat sehingga keadaan kembali stabil,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan sempena 100 hari pentadbirannya. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang menyifatkan kerajaan negeri sebagai lemah kerana tidak mampu untuk membayar hutang pembinaan Kampus KUIN Kuala Ketil. 

Bagaimanapun Mukhriz berkata, Mahfuz tidak seharusnya menuding jari terhadap orang lain sedangkan masalah yang timbul sebelum ini adalah berpunca daripada salah tadbir dan urus kerajaan pembangkang ketika memerintah negeri ini. 

Katanya, beliau enggan melakukan pendekatan dengan hanya bercakap bagi membalas dakwaan Mahfuz kerana rakyat sendiri boleh menilai prestasi dan hasil usaha dilakukan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah KUIN.

"Saya rasa kita tidak perlu respons kepada kenyataan mereka. Saya cuba tidak terlalu banyak bercakap. Saya ingat, rakyat dapat menilai apa prestasi kerja kita dan bukan menilai apa yang dicakap oleh pembangkang. Mereka boleh bercakap dan bercakap, tetapi tidak boleh menyelesaikan masalah," katanya.

Mengenai dakwaan pembangkang untuk mendedahkan minit mesyuarat yang mengatakan ada kaitan kerajaan negeri dengan Insaniah Holdings, beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan terhadap perkara itu.

"Mereka boleh mengeluarkan minit mesyuarat itu. Tetapi kalau ikut prosedur, ia adalah rahsia. Mereka juga lebih tahu sebenarnya mereka yang menjadi punca masalah ini (Insaniah). Kita cuma mewarisi masalah ini dan tanggungjawab menyelesaikan masalah ini terletak pada bahu kerajaan negeri sekarang," katanya. - Berita Harian & Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...