#PrayForMH370

#PrayForMH370

Thursday 21 November 2013

RM46j Lunas Hutang KUIN


Sebanyak RM46 juta daripada peruntukan RM66 juta dalam Bajet Kedah 2014 untuk Kolej Universiti Insaniah (KUIN) akan digunakan bagi melunas hutang kepada Bank Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain, berkata RM15 juta pula bagi pengurusan dan baki RM5 juta untuk menyiapkan asrama.

Katanya, pembinaan asrama pelajar di kampus KUIN kini sudah mencapai tahap 80 peratus siap dan dijangka mampu menampung 1,100 pelajarnya.

"Asrama masih dibina dan ia sudah mencecah 80 peratus siap. Kita berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, yang memberi peruntukan RM66 juta kepada KUIN," katanya ketika menjawab soalan Md Zuki Yusof (PAS-Kuala Ketil), yang ingin tahu mengenai kemajuan dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada KUIN selepas mengambil alih Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri juga akan berusaha untuk membina masjid di kampus Kuala Ketil berikutan kegagalan kerajaan PAS Kedah sebelum ini menyediakan kemudahan itu.

Bagi tujuan itu, pihaknya akan cuba mencari dana, termasuk mengambil sedikit peruntukan Bajet bagi memulakan pembinaan masjid itu awal tahun depan.

"Sehingga kini, kita sudah berbincang dengan arkitek bagi pembinaan masjid berkenaan dan kita akan cari duit bagi tujuan itu," katanya.

Selain itu, Tajul Urus berkata, pelajar kampus Kuala Ketil yang dipindahkan ke kampus Mergong sebelum ini dijangka akan kembali semula ke Kuala Ketil pada Disember 2014 selepas pembinaan asrama itu siap nanti.

Menjawab soalan tambahan Md Zuki mengenai tindakan kerajaan negeri yang memindahkan pelajar sebanyak dua kali itu sebagai tindakan membazir, beliau menjelaskan ia terpaksa berbuat demikian kerana kelemahan pentadbiran PAS Kedah sebelum ini.

"Kalau nak kira membazir, peringkat awal semasa pembinaan kampus Kuala Ketil dulu pun dah membazir," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...