#PrayForMH370

#PrayForMH370

Monday 2 December 2013

"Saya Bekerja Demi Islam" - UKE


Sejak pengumuman dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Jumaat lalu, pelbagai kritikan diterima Ustaz Mohammad Kazim Elias, khususnya di laman-laman sosial. Beliau nyata amat sedih dengan pelbagai gelaran melampau yang diberi kepadanya susulan pengumuman itu sehingga ahli keluarganya turut tertekan.

Menerusi ceramah yang diadakan di ibu negara malam kelmarin, Ustaz Kazim meluahkan perasaannya mengenai isu pelantikan itu.

Menangis anak perempuan saya yang kecil itu. Dua hari dia tak buka Facebooknya, tak sentuh langsung komputernya. Dia sedih. Isteri dan lima anak saya ambil keputusan untuk balik kampung, tengok sawah, bendang. Mereka tak tergamak nak tengok ayah mereka kena maki.

Isteri saya kata: 'Abang, kami anak-beranak berkorban, tak jumpa abang. Tak makan, tak minum sama-sama dengan ayah, tak bercuti, walaupun cuti sekolah dah tiga minggu. Kami berkorban sebab abang nak berceramah satu Malaysia. Tapi, sampai hati mereka panggil abang haram jadah, munafik, babi, anjing.'

Itu yang dilontarkan isteri saya apabila membaca komen-komen yang begitu menyedihkan selepas pengumuman itu.

Anak saya yang paling kecil, namanya Waina, menangis bila tengok ayahnya dimaki. Tidak ada langsung belas kasihan, tak terfikir ke saya ni ada isteri, anak-anak, ibu dan ayah. Seolah-olah politik depa ni betul. Inikah Islam?

Saya buat kerja untuk Islam, tak kira parti. Kadang-kadang saya tak balik rumah. Hari Sabtu dan Ahad saya ceramah di Singapura. Tengah hari Isnin saya sampai di rumah. Duduk sejam. Isteri dan anak-anak pun belum pulang dari sekolah.

Pukul 3 petang pula, saya masuk konti radio. Habis kira-kira jam 5 petang. Sampai di rumah, orang Singapura dah tunggu minta air penawar, anak sakit. Saya masih belum menjamah makanan dari siang.


'Abang makan nasi,' sapa isteri yang melihat saya makan sambil berdiri dan dalam keadaan tergesa-gesa.

'Tak apa, abang dah lewat,' hanya itu yang mampu saya katakan dalam keadaan yang agak kalut. Selepas makan, terus saya mengemas beg pakaian.

'Abang nak ke mana pula tu?' soal isteri yang terkesima kerana hanya dapat bertemu suaminya dalam lima minit atau paling lama, setengah jam.

'Malam ni abang nak ke Serdang, Selangor sebab pukul 9 pagi abang ada ceramah di Mardi, Serdang. Takut lewat sampai sana,' cerita saya sambil mengemas beg.

Rutin ceramah saya sangat padat. Selepas ceramah di Mardi, saya akan ke kuliah Maghrib pula. Selesai, terus bergegas ke LCCT, ada ceramah di Kota Kinabalu. Sampai di sana, saya rehat. Esoknya ada ceramah jam 9 pagi.

Petang itu pula, balik kerana perlu menghadiri ceramah di Putrajaya. Keesokan harinya pula, Khamis ada ceramah di Imigresen Putrajaya. Petang pula di KUIS (Kolej Universiti Antararabangsa Selangor). Sebelah malam pula siaran langsung di Astro kerana menjadi juri program Pencetus Ummah.

Sampai rumah sekitar jam 2 pagi. Jumaat pula baca khutbah dan terus ke Kepala Batas, Pulau Pinang bagi menghadiri ceramah di sekolah rendah di situ. Kemudian sampai rumah jam 2 pagi. Itulah rutin saya sepanjang minggu. Saya tiada di rumah. Itu pun orang tuduh saya anjing?

Kerana itu, saya pernah katakan 28 November adalah tarikh akhir saya berceramah. Tarikh hari lahir saya yang ke 41. Bukan tarikh akhir saya berdakwah.

Kerana itu saya masih menyambung kontrak program Kalau Dah Jodoh untuk Astro Oasis. Rakaman bermula sekitar Disember untuk siaran Februari 2014.

Saya berdakwah di sekolah saya yang ada 250 pelajar tahfiz. Murid-murid saya wajib belajar lima bahasa, iaitu Melayu, Inggeris, Tamil, Cina dan Arab. Mesti belajar dan perlu ambil peperiksaan SPM. Setelah habis, mereka akan keluar menjadi pendakwah.

Ini yang saya buat. Bukan berhenti. Saya cuma berhenti ceramah kerana penat. Untuk pengetahuan, saya pakai insulin kerana diabetes tinggi dan buah pinggang saya rosak.

Ada orang tahu? Saya sedih. Ketika berhenti di lampu isyarat, saya tengok banner ceramah saya yang telah dilukis tanduk dan diwarnakan merah pada gigi saya. Mereka panggil saya syaitan.

Saya ni makan dan minum pun tak sempat. Ubat pun ada kalanya terlepas; boleh pula panggil saya syaitan. Kerana itu saya umumkan saya mahu berhenti berceramah.


Saya hanya nak tumpu pada sekolah. Saya malas nak campur politik. Tiba-tiba pelawaan sampai jadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, pada tarikh yang sama. Dalam Facebook tuduh saya macam-macam.

Saya dalam dilema apabila hasrat dihalang pihak istana yang menasihatkan supaya teruskan berdakwah. Saya terima banyak surat, e-mel, Facebook minta terus berdakwah. Saya rasa lebih selesa menjadi pendakwah seperti sekarang daripada menyertai parti politik. Apa-apa pun, saya perlu bertemu Datuk Sri Najib Tun Razak dahulu.

Saya ingin tahu mengapa saya dilantik dan beliau perlu dengar pula apa syarat saya. Bila-bila masa pun tak apa untuk berjumpa. Tolak tidak, terima pun tidak.

Tapi buat masa ini, saya tegaskan, saya selesa cara berdakwah begini kerana tiada label parti politik pada baju saya dan ceramah. Hadirin yang datang pun akan rasa selesa. Itu lagi bagus. Itu adalah yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia.

p/s: Apa pun kata orang lain, Tok Kenari menyokong penuh usaha UKE untuk terus berdakwah.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...