#PrayForMH370

#PrayForMH370

Sunday 28 June 2015

Timbang Semula Keputusan Ambil Pekerja Bangladesh


KUALA LUMPUR 27 Jun - Kerajaan perlu mempertimbangkan semula tindakan membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh ke negara ini bagi memenuhi permintaan majikan pelbagai sektor.

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, antara perkara yang dibimbangkan adalah pertembungan budaya antara dua negara sekiranya lambakan rakyat Bangladesh mula mencampur adukkan adat mereka bersama warisan Melayu di negara ini.


Katanya, kerajaan seharusnya mengambil langkah mewujudkan satu institusi yang menjadi medan dalam melatih anak muda tempatan bagi menguasai kemahiran yang diperlukan bagi memacu pembangunan negara.

“Kita perlu nilai kembali tindakan itu. Saya khuatir, akan wujud satu budaya ‘Mangla’ (Melayu - Bangladesh) apabila lambakan warga negara itu mula mencampur adukkan budaya di negara ini.

“Anak muda tempatan juga perlu dibekalkan dengan kemahiran yang dapat memenuhi kehendak majikan di negara ini sekali gus kita dapat mengurangkan pengangguran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Mesyuarat Jawatankuasa Pe­ngendali Kesatuan Seni Bela Diri Dunia (Womau) Ke-13 yang disertai delegasi antaranya dari Jepun, India, Korea Selatan dan Malaysia.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan kerajaan Bangladesh dan dijangka memeterai perjanjian tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Rais berkata, cadangan bagi mewujudkan satu akta baharu untuk memartabatkan bahasa Melayu seperti yang diusulkan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) adalah tidak perlu sama sekali.

Katanya, akta sedia ada dilihat sudah cukup bagi memartabatkan bahasa Melayu namun apa yang perlu difokuskan adalah penguasaan serta penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kalangan masyarakat.

“Bagi saya, kita sudah ada banyak akta yang mampu memartabatkan bahasa Melayu, cumanya sikap rakyat kita terutama orang Melayu sendiri yang tidak menguasai bahasa kebangsaan dengan tepat,” katanya. -UtusanOnline

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...