#PrayForMH370

#PrayForMH370

Thursday 4 February 2016

Mukhriz Mahathir Letak Jawatan #MBKedah, Hilang Sokongan Majoriti Melalui Undian Sulit


Alor Setar - Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar (MB) Kedah berkuatkuasa serta-merta, semalam.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah dimaklumkan kehilangan sokongan majoriti dalam Dun Kedah apabila undian sulit di hadapan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah diperolehi daripada kesemua Adun BN dan pembangkang.

"Perkara ini terpaksa dilakukan akibat gerakan untuk menjatuhkan saya daripada jawatan tertinggi kerajaan negeri, sekali gus cubaan menutup mulut saya dari terus menjadi suara rakyat dalam pelbagai isu nasional.

"Lebih dikesali, tindakan mereka itu mengheret pihak istana ke kancah politik dalaman Umno," katanya pada satu sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.

Beliau berkata, tiada alasan munasabah dikemukakan ahli gerakan itu yang mengaitkannya dengan kewibawaannya dalam mentadbir negeri.


"Malah rata-rata rakyat menerima baik segala inisiatif yang saya mulakan demi kesejahteraan mereka. Sesungguhnya alasan sebenar tindakan ini diambil ke atas saya ialah kritikan yang disuarakan terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) seperti yang beliau sendiri akui," katanya.

Mukhriz berkata, kritikan yang dimaksudkan adalah mengenai skandal 1MDB dan wang 'derma' RM2.6bilion serta meningkatnya bebanan sara hidup rakyat akibat GST.

Beliau beranggapan peluang berkhidmat kepada rakyat Kedah di bawah naungan Sultan Kedah, satu penghormatan yang amat tinggi.

"Menjamin kesejahteraan rakyat Kedah keutamaan saya. Bagi mengelak kemelut politik ini berpanjangan sehinggakan menjejaskan pentadbiran negeri dan merugikan rakyat, maka saya mengambil pendirian untuk melepaskan jawatan sebagai MB Kedah Darulaman berkuatkuasa serta-merta.

"Saya meletak jawatan sebagai MB, jawatan Pengerusi Umno itu terletak pada tangan presiden parti. Biarlah dia buat keputusan itu, tapi tentulah saya jangka digugurkan juga.

"Saya juga terpaksa melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) termasuk semua jawatan sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya. -SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...