#PrayForMH370

#PrayForMH370

Tuesday 4 June 2013

Perkasakan Yang Ada, Tak Perlu Parti Tunggal


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, belum sampai masanya bagi Barisan Nasional (BN) untuk menjadi sebuah parti yang terbuka kepada rakyat berbilang kaum di Malaysia. 

Bekas Perdana Menteri berkata, pendekatan terbaik pada masa ini ialah kerjasama antara parti-parti yang mewakili kaum dalam konsep perkongsian kuasa dan kekayaan negara. 

"Kita tak boleh ketepikan parti yang mewakili kaum mereka. Walaupun dalam BN, ada parti-parti yang berbilang kaum, tetapi pada hakikatnya parti yang mendakwa dirinya sebagai berbilang kaum juga didominasi satu kaum saja."

"Kalau kita lihat parti GERAKAN sebagai sebuah parti berbilang kaum, tapi ia dikuasai oleh orang Cina, jadi belum sampai masa kita boleh ketepikan kaum dan kita adakan satu parti," katanya kepada BERNAMA di sini.

Kita lihat DAP umpamanya dikatakan berbilang kaum, tapi sebenarnya dikuasai oleh orang Cina. Demikian juga dengan PKR dikuasai oleh orang Melayu. 

Walaupun diadakan satu parti berbilang kaum, satu-satu kaum akan mendominasi dan ini tidak menjadikannya sebuah parti berbilang kaum, kata Dr Mahathir. 

Beliau berada di sini kerana memberi syarahan umum mengenai Keamanan Global dan Penyelesaian Konflik sempena perasmian Mahathir Global Peace School di Universiti Muhammadiyah Yogyakarta (UMY). 

Dr Mahathir berkata, BN tidak boleh tergesa-gesa menerima sesuatu cadangan mengenai corak dan bentuk parti itu di masa depan, sebaliknya semua cadangan perlu dikaji dengan mendalam akan kesan baik dan buruknya. 

Ditanya mengenai sama ada BN boleh menerima kemasukan parti-parti pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) seperti Perikatan pada suatu masa lalu membawa masuk parti pembangkang ke dalam parti gabungan itu.

Dr Mahathir berkata BN terbuka kepada parti pembangkang, tetapi mereka mestilah membelakangkan prinsip mereka yang bertentangan dengan perjuangan BN.

Mengenai prestasi UMNO pada PRU-13, Dr Mahathir berkata walaupun parti itu menjadi parti terbesar yang menang dalam pilihan raya itu, ia masih berdepan banyak kelemahan. 

Kemenangan UMNO kali ini bukan kerana kekuatan UMNO atau perpaduan dalam UMNO, kemenangan UMNO kali ini disebabkan oleh perasaan takut orang Melayu, terutama kalau-kalau parti lawan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim bersama dengan DAP mendirikan kerajaan di Malaysia. 

Kalau mereka mendirikan kerajaan di Malaysia, sudah tentu nasib orang Melayu akan menjadi lebih buruk. Sebab itu mereka memberi sokongan kepada UMNO, kata Dr Mahathir. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...