#PrayForMH370

#PrayForMH370

Thursday 27 June 2013

Ulama & Masyarakat Bersama Pantau Ancaman Syiah


Kerajaan Negeri Kedah memohon kerjasama golongan ulama dan masyarakat setempat dalam menangani isu penyebaran ajaran Syiah yang berlaku di negeri ini.

Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, Mohd. Rawi Abd Hamid berkata, semua pihak perlu memainkan peranan kerana ia merupakan ancaman terbesar akidah yang harus dikekang.

"Jika kita mahu bendung ajaran ini daripada menular, perlu ada kerjasama antara kerajaan negeri, ulama, imam, guru agama serta pemantauan daripada Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik). Golongan ulama lebih arif mengenal pasti siapa terlibat dan maklumat itu boleh dijadikan panduan untuk kita lebih berjaga-jaga," katanya.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya dengan kerjasama Jaik sudah menghidu pergerakan golongan itu di beberapa daerah di negeri ini.

"Kita sentiasa pantau walaupun tidak dihebahkan. Memang ada laporan bahawa golongan itu aktif menyebarkan dakwah dan dakyah mereka dalam kalangan masyarakat setempat, malah sebahagian aktiviti mereka juga sudah dikesan," katanya.

Mohd Rawi berkata, pusat pengajian agama juga diminta menyalurkan maklumat sekiranya penyebaran ajaran itu dikesan berlaku di kawasan kejiranan mereka.

"Golongan ulama boleh selitkan nasihat dan panduan berkaitan isu Syiah dalam ceramah mereka, adakan forum untuk bincang natijahnya. Mereka perlu memberi peringatan kepada masyarakat betapa bahaya ajaran ini supaya mereka bersifat lebih peka, terutama golongan muda," katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya bimbang jika golongan belia terpengaruh kerana ajarannya sesuai dengan naluri orang muda, di mana semua perkara dianggap mudah.

"Setakat ini, tiada sekolah pondok di negeri ini dikenalpasti dipengaruhi dengan ajaran ini, kerana asas pengajian sekolah pondok kukuh di mana tauhid dan usuluddinnya begitu kuat," katanya.

Mohd Rawi berkata, hanya golongan masyarakat setempat dan belia yang sering didekati golongan itu dan pemantauan berterusan dibuat di setiap pelusuk negeri ini.

"Baru-baru ini kita adakan perjumpaan dengan guru sekolah pondok di Kobah, Pendang dalam usaha memperkasakan sekolah berkenaan. Antaranya menyalurkan peruntukan RM1,000 sebulan kepada tok guru, RM500 kepada pengapit kanan dan kiri, duit wakaf RM20,000 serta dana RM10,000," katanya.

Menurutnya, kesemua pengetua sekolah pondok terbabit berdaftar bawah Yayasan Pondok 1Malaysia (YP1M) bagi membolehkan mereka menerima peruntukan terbabit.

"Pelbagai isu boleh dibincangkan setelah mereka berdaftar bawah yayasan untuk pembangunan ummah. Ini termasuk berbincang mengenai isu semasa berkaitan agama, tidak terkecuali isu Syiah," katanya. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...