#PrayForMH370

#PrayForMH370

Tuesday 15 December 2015

Nelayan Bantah Projek Tambak Laut


BAYAN LEPAS -"Jangan tuang pasir ke dalam periuk nasi kami!

Itu yang disuarakan kira-kira 800 nelayan di sekitar Bayan Lepas apabila mereka mengetahui kerajaan negeri akan melakukan projek tambak laut dari persisiran pantai Permatang Damar Laut sehingga ke kawasan persisiran pantai Gertak Sanggul di sini.

Tidak bersetuju dengan projek yang bakal dilaksanakan itu, kumpulan nelayan berkenaan berkumpul di Jeti Nelayan Sungai Batu pagi semalam bagi mengadakan bantahan secara aman selain mengumpul tandatangan untuk menghantar referendum kepada kerajaan negeri.

Mereka berkata, sekiranya projek tambak laut itu diteruskan juga ia seolah-olah menuang pasir ke dalam periuk mereka yang selama ini menjadikan sumber laut sebagai punca rezeki.

Nelayan, Choo Sooi Kong, 70 berkata, kawasan laut di sekitar Bayan Lepas sehingga ke Balik Pulau merupakan lubuk pelbagai jenis ikan dan udang yang selama menjadi hasil tangkapan mereka.

Sooi Kong berkata, sekiranya tambakan laut tetap dilakukan ia akan menjejaskan pendapatan mereka selain merosakkan benih ikan dan udang di kawasan berkenaan.

“Kenapa perlu ganggu punca pendapatan kami yang selama ini bergantung kepada hasil laut.

“Dah lama nelayan beroperasi di sini malah sejak dari zaman datuk dan nenek kami lagi mencari rezeki di kawasan laut dan sekarang kerajaan negeri nak pula tambun tanah di kawasan ini..apa yang kami nak makan lepas ini?”katanya ketika ditemui media di sini semalam.

Gambar hiasan

Sooi Kong yang lebih 50 tahun menjadi nelayan di kawasan itu berkata, mereka mempunyai kawasan tangkapan ikan yang terhad dan tidak boleh menangkap ikan di tengah laut kerana tidak mempunyai kelengkapan yang secukupnya.

Katanya, kebanyakan nelayan yang bakal terjejas adalah nelayan kawasan pesisir pantai yang hanya boleh menangkap ikan di kawasan satu hingga tiga batu dari kawasan pantai.

Seorang lagi nelayan, Nazri Ahmad, 50, berkata, pampasan dan penempatan baharu bukan jalan penyelesaian yang boleh diambil oleh kerajaan negeri dalam mengatasi isu ini.

Menurutnya, amalan pampasan yang sering dilakukan oleh kerajaan negeri selama ini boleh dianggap tidak memberi keuntungan kepada nelayan.

“Bukan soal penempatan baharu dan pampasan yang kami mahukan sebaliknya nelayan di sini mahu mempertahankan kawasan laut yang selama ini menjadi punca rezeki kami.

“Sekiranya tambun tanah ini dilakukan masih adakah ikan dan hasil laut lain di kawasan ini. Kalau penempatan baharu dilakukan banyak lagi masalah lain akan timbul,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar berkata, pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai cadangan kerajaan negeri untuk melakukan tambakan laut di kawasan berkenaan malah tiada sebarang perbincangan dilakukan dengan mereka sebelum ini.

Arshad berkata, dia hanya mengetahui mengenai projek tambakan laut yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini selain daripada laporan media.

“Kerajaan negeri sepatutnya berbincang dengan kami terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Tidak sepatutnya kerajaan negeri mementingkan pemaju yang hanya mengaut keuntungan untuk membangunkan kawasan ini sedangkan ribuan nelayan akan terjejas dan merana akibat daripada pembangunan yang bakal dijalankan,”katanya.

Beliau berkata, kumpulan nelayan di sini bukan tidak mahu pembangunan dilakukan namun projek yang bakal dijalankan itu biarlah tidak menjejas alam sekitar dan kawasan laut di negeri ini.

“Banyak lagi tanah dan kawasan lain yang boleh dimajukan dan bukannya menjadikan pantai dan hasil laut sebagai mangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...