PUTRAJAYA 15 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa melakukan siasatan terperinci berhubung video pengakuan seorang individu dipercayai bekas editor portal Sarawak Report yang dikatakan terlibat secara langsung dalam memalsu, menerbit dan menyebarkan fakta tidak tepat terutama isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, berikutan kewujudan video pengakuan tersebut, seorang pengadu rakyat Malaysia telah membuat laporan polis di Petaling Jaya, Selangor dan kemudian menyerahkan video berkenaan dan salinan e-mel berkaitan untuk siasatan PDRM.
Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pengadu berkenaan telah menyerahkan salinan laporan polis itu kepadanya.
‘‘Pengadu mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa wujudnya niat jahat pihak tertentu untuk melaksanakan misi ‘menjenayahkan’ 1MDB dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
‘‘Pengadu dalam laporan polis mendakwa pengendali Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown telah melakukan pemalsuan fakta berkaitan 1MDB, Najib dan isu-isu lain yang berkait rapat dengan 1MDB.
‘‘Saya turut dimaklumkan bahawa beberapa individu yang merupakan warga Britain telah dinamakan dalam video pengakuan tersebut dan mereka hanya akan memberi keterangan jika siasatan rasmi dilakukan pihak berkuasa United Kingdom,’’ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, individu dalam video pengakuan tersebut turut mendedahkan nama beberapa pemimpin pembangkang yang didakwa bersekongkol dengan Brown dan Sarawak Report.
‘‘Selain video pengakuan ini, saya juga dimaklumkan bahawa pengadu telah menyerahkan satu salinan e-mel bertarikh 1 Mac 2015 yang didakwa ditulis oleh Brown kepada pihak polis.
‘‘Tulisannya berbunyi “Thanks! Yes it was quite a job!...sitting up night after night cleverly 'forging' all those documents (Terima kasih! Ya, ini merupakan satu tugas!..duduk bermalam-malam untuk menghasilkan semua dokumen secara bijak),’’ katanya.
Sehubungan itu, Abdul Rahman berkata, PDRM, polis antarabangsa (Interpol) dan polis United Kingdom perlu menyiasat kandungan e-mel tersebut untuk menentukan kesahihannya.
‘‘Saya memohon PDRM segera menghubungi rakan sejawat mereka dalam Interpol supaya individu yang dinamakan dalam video pengakuan itu dapat disoal siasat.
“Ini penting agar bukti yang masih dalam tangan tidak dimusnahkan atau dialih kepada pihak berkepentingan lain,’’ katanya lagi. -UtusanOnline
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..