#PrayForMH370

#PrayForMH370

Monday 13 July 2015

Sokongan Bukan Islam Tidak Kekal Selamanya


BATU PAHAT 12 Julai - Pemimpin DAP diingatkan bahawa sokongan daripada masyarakat bukan Islam yang diterima mereka bukanlah bersifat selama-lamanya memandangkan parti itu pernah mengalami pasang surut dalam pilihan raya sejak penubuhannya.

Sehubungan itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, hubungan antara ke­dua parti itu terputus disebabkan sifat pemimpin DAP yang sudah mengambil langkah memutuskan hubungan dengan kenyataan-ke­nyataan negatif sebelum ini.

“Kita menolak sikap cauvinis daripada mana-mana pihak dan Pas menentang sikap itu sama ada Melayu, Cina dan sebagainya. Walaupun DAP membuat keputusan begitu, namun kita tidak bermusuh dengan masyarakat Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri ceramah di Ayer Hitam di sini malam tadi.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas ketetapan Majlis Syura Ulama semalam yang memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik yang terjalin dengan DAP dalam pakatan pembangkang sejak 2008 adalah terbatal.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas menerima hakikat bahawa negara ini berasaskan pelbagai kaum tetapi tetap berpegang kepada Islam yang merupakan agama Persekutuan dan kaum Melayu adalah majoriti di negara ini.

“Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan dan tidak boleh diabaikan, tetapi kita melihat DAP tidak peduli hal-hal ini. Maka kita tidak boleh ikut sama apabila sudah melampau begitu rupa dan dalam DAP masih ada negeri, individu, cawangan yang bersifat terbuka, bukan semua ahli DAP sokong pemimpin mereka,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP akan memberi kesan kepada pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang, Abdul Hadi mengakui perkara tersebut.

“Sudah tentu ada kesan sedikit sebanyak dan pakatan pembangkang tidak semestinya dengan DAP sahaja, boleh dengan parti lain yang ingin membuat perubahan.

“Dalam pakatan pembangkang, kita ambil sikap fleksibel tak sentuh dasar, tak sentuh matlamat dan tak sentuh perjuangan atau akidah parti masing-masing, itu perkara dihormati semua. Tetapi apabila sudah menyentuh dasar parti, sentuh perjuangan dan matlamat Pas, ini sudah melanggar asas persefahaman,” tegas beliau.

Abdul Hadi turut menyifatkan DAP tersilap langkah apabila bertindak berkempen dalam pemilihan Pas ketika Muktamar Tahunan parti itu di Selangor, baru-baru ini.

“Majoriti ahli Pas faham hakikat ini, sebab itu apabila ada pimpinan bersikap negatif dengan apa yang Pas mahu, pimpinan ini ditolak de­ngan keras dalam muktamar, apatah lagi DAP mengambil sikap berkempen untuk pemilihan Pas, itu silap langkah kerana mereka tidak berhak untuk berkempen bagi pemilihan Pas,” katanya. - UtusanOnline

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...