#PrayForMH370

#PrayForMH370

Sunday 9 August 2015

Pakatan 2.0 : Pas Tunggu dan Lihat


KUALA LUMPUR - Pas mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap desas-desus yang menyebut Pakatan 2.0 bakal dibentuk tanpa Pas sekali gus meminggirkan parti Islam itu daripada pakatan pembangkang.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat ini Pas tidak diketepikan malah tetap dilibatkan dalam isu-isu besar.

"Kita akan tengok.. Sebab ini benda akan datang. Semalam pun kita ada pertemuan dengan pimpinan PKR. Nak kata Pas diketepikan tidak juga. Malah dalam isu-isu besar pun, Pas dilibatkan cuma yang jelasnya majlis pimpinan PR itu sudah tidak berfungsi tapi tadbir kerajaan negeri berjalan macam biasa di Selangor.

"Hubungan antara Pas dengan PKR masih berjalan. Bahkan dalam program di peringkat negeri-negeri, ada yang pimpinan DAP turut hadir. Sekiranya kita (Pas) diketepikan, kita akan lihatlah bagaimana," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bulanan parti itu, hari ini.

Menurutnya, Pas merupakan pembangkang utama di negara ini sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

"Saya nak sebut sejak daripada sebelum merdeka lagi, Pas ini tidak pernah diketepi oleh mana-mana barisan pembangkang sebab pembangkang yang utama di negara kita adalah Pas. Mengetepikan Pas bererti pakatan pembangkang itu akan pincang. Itu politik yang sebenar.

"Kita (Pas) akan tengok sekiranya mereka (ketepikan Pas)...(Mungkin) kita akan bergerak secara sendirian. Walaupun kita akur bahawa sebaik-baiknya pembangkang duduk bersama untuk menghadapi BN tapi Pas ada polisi kita yang mesti dihormati sebagaimana kita menghormati polisi parti-parti lain," katanya.

Gerakan Harapan Baru yang dibarisi bekas-bekas pemimpin Pas didakwa mahu menjadi pengganti Pas dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan PKR.

Sementara itu, beliau melihat negara ini tidak memerlukan parti politik pembangkang yang baharu kerana tiga parti yang ada sudah cukup meliputi semua tuntutan untuk rakyat.

"Dalam konteks pembangkang di Malaysia hampir tiada keperluan untuk ada parti yang baharu. Yang dah ada ini sudah memenuhi semua tuntutan rakyat.

"Mungkin jika tidak setuju dengan Pas boleh pergi kepada DAP atau PKR. Tapi nak wujudkan parti baharu dalam tempoh dua tahun lagi pilihan. raya, ia akan timbulkan polemik," katanya. - SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...