#PrayForMH370

#PrayForMH370

Wednesday 1 May 2013

Kes Tembak TKP Kastam: Polis Sudah Dapat Beberapa Petunjuk


Kuala Lumpur: Polis sudah merakam percakapan 35 individu bagi membantu siasatan pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharudin Ibrahim. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, pada sidang medianya semalam, bagaimanapun enggan mendedahkan identiti semua 35 individu terbabit. 

Namun, dipercayai mereka adalah ahli keluarga terdekat, kenalan termasuk rakan setugas Allahyarham di Jabatan Kastam Diraja Malaysian (JKDM) serta beberapa saksi yang berada di tempat kejadian.

“Kita tahu masyarakat sentiasa menunggu perkembangan siasatan kes ini. Semua pihak tahu ini kes jenayah berprofil tinggi, justeru, kita mahu masyarakat beri peluang pada polis menjalankan siasatan dengan kemas dan rapi.

“Buat masa ini siasatan kita tertumpu kepada motif pembunuhan dan setakat ini kita sudah mendapat beberapa petunjuk dan kita yakin kes ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Difahamkan, pasukan khas yang ditubuh untuk menjalankan siasatan kes itu kini dibahagikan kepada dua unit iaitu pasukan penyiasatan dan pasukan operasi bagi memastikan kes ini dapat disiasat dengan terperinci.

Bakri berkata, proses merakam percakapan 35 individu terbabit itu juga ada kaitan usaha polis mengenal pasti apakah motif sebenar pembunuhan itu.

“Kita akan menggunakan segala sumber dan maklumat yang ada termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di tempat kejadian selain keterangan saksi.

“Ada juga individu tertentu yang tampil menyalurkan maklumat dan kita amat menghargainya kerana sekecil manapun maklumat itu kita yakin ia dapat membantu menyelesaikan kes ini,” katanya.


Jumaat lalu, Shaharuddin, 58, maut ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, jam 8.15 pagi.

Mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan kenderaan pacuan empat roda ditembak tiga das oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki motosikal di persimpangan lampu isyarat, Lebuh Sentosa, Putrajaya, di sini.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia jam 9.20 pagi. -Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...