#PrayForMH370

#PrayForMH370

Sunday 12 May 2013

Tanggung Sendiri Akibat Sertai Perhimpunan Haram


SINGAPURA 12 Mei - Protes di Singapura diadakan tanpa permit dan mereka yang secara sedar menganjurkan dan menyertai aktiviti haram itu perlu menanggung akibatnya, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Md. Hussin Nayan.

"Saya berharap rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di Singapura patut melihat kepada akibat bakal ditanggung mereka sebelum menyertai aktiviti haram," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Md. Hussin mengulas laporan penahanan 21 rakyat Malaysia di republik ini semalam.

Menurut laporan akhbar, polis Singapura menahan 21 rakyat Malaysia selepas mereka didapati mengadakan protes di Merlion Park, di sini.

Penahanan itu dibuat selepas amaran dikeluarkan terhadap sembilan rakyat Malaysia kerana "terlibat secara aktif dalam perhimpunan haram" di Merlion Park pada Rabu, apabila sekumpulan kira-kira 100 orang berhimpun untuk memprotes keputusan pilihan raya umum baru-baru ini di Malaysia.

Md. Hussin berkata, rakyat Malaysia perlu belajar untuk menghargai aspek-aspek positif kehidupan di negara tuan rumah dan kembali untuk menyumbang kepada proses penyatuan nasional di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Reaksi ekstremis dan emosional tidak ada tempat dalam usaha pembinaan negara Malaysia yang stabil, makmur dan aman," katanya.

Polis Singapura sebelum ini menegaskan perhimpunan seumpama itu adalah melanggar undang-undang Singapura, dan rakyat asing yang dibenarkan bekerja atau tinggal di negara ini, perlu mematuhi undang-undang republik itu.

"Mereka tidak patut membawa isu-isu dalam negara mereka ke Singapura dan mengadakan aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam, kerana akan terdapat kumpulan yang berbeza pandangan.

"Mereka yang didapati melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan tegas," katanya. - BERNAMA

p/s: Macam-macam la buat perangai pelik bila tak dapat tawan Putrajaya. Pejabat Pesuruhjaya Tinggi kata 'sendiri bikin, sendiri tanggung'. Pemimpin PR kata apa pula?

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...