#PrayForMH370

#PrayForMH370

Friday 17 May 2013

Aku Janji BN Kedah: Tugas Diserahkan Kepada Exco


Kerajaan Negeri Kedah sudah mengagihkan tugas melaksanakan Aku Janji Barisan Nasional (BN) Kedah kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik semalam, kata Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, sebagai contoh isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) sudah diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Datuk Tajul Urus Mat Zain untuk menyelesaikannya. 

"Beliau perlu berjumpa dengan pelajar kolej itu dan perlu kemukakan beberapa cadangan penyelesaian serta pendekatan bagi memastikan kebajikan pelajar dan kakitangan kolej itu dijaga," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini hari ini. 

Katanya, pada mesyuarat kali pertama Exco semalam, antara perkara mendapat perhatian ialah isu tanah, kewujudan Majlis Ketua Kampung (MKK) oleh kerajaan terdahulu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Beliau berkata bagaimanapun tiada keputusan besar dibuat dan mereka akan menyegerakan beberapa isu penting dan keputusan mengenai pelbagai isu akan dimaklumkan pada sidang media dalam tempoh terdekat.

Mukhriz berkata, kesemua anggota Exco perlu menyediakan laporan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap tahun bagi memudahkannya menyelaraskan hasil kerja yang dibuat sekali gus dapat menunaikan Aku Janji BN Kedah.

"Saya tak akan guna sewenang-wenangnya kuasa untuk tamatkan lantikan Exco untuk tempoh setahun. Kita mahu semua Exco rangka perancangan dalam tempoh lima tahun untuk mudahkan kita selaraskan kerja. Contohnya, kalau seseorang Exco tak penuhi KPI 100 peratus tetapi ada perancangan nak penuhi KPI tersebut sudah memadai bagi saya," katanya.

Beliau berkata Exco akan diberi masa untuk menyediakan rangka perancangan dan perbincangan dengan Exco terlibat akan diadakan bagi memastikan mereka melaksanakan tugas dengan baik dan beliau bersedia menerima cadangan daripada mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...