#PrayForMH370

#PrayForMH370

Tuesday 5 March 2013

Krisis Sabah Boleh Diselesaikan


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin krisis di Sabah, yang berlarutan sejak awal bulan lalu ekoran pencerobohan warga Filipina dan telah mengorbankan lapan anggota polis Malaysia setakat ini, dapat diselesaikan dalam waktu terdekat.

Sehubungan itu kata beliau, keselamatan penduduk di Sabah adalah "keutamaan kita".

"Marilah kita berdiri teguh di belakang pasukan keselamatan kita dan berharap situasi ini boleh diselesaikan dengan segera," kata beliau menerusi Twitter malam tadi.


Laporan Bernama malam tadi pula menyebut selepas 21 hari insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah, Malaysia dan Filipina meneruskan usaha mencari jalan untuk mencapai satu resolusi damai bagi menamatkan krisis itu.

Ke arah itu, Duta Besar Filipina ke Malaysia J. Eduardo Malaya dan Setiausaha Rendah Luar Filipina Jose Brillantes hari ini menemui Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Lahad Datu.

Sehingga kini, kedua-dua pihak belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertemuan itu.

Kelmarin, Brillantes dan Malaya menawarkan bantuan kerajaan Filipina untuk mencari penyelesaian damai dalam pertemuan ringkas dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Brillantes tiba ke Malaysia pada 25 Februari lalu dalam misi bantuan kemanusiaan konsulat untuk membantu pihak kedutaan Filipina di Malaysia menangani isu pencerobohan kumpulan bersenjata yang didakwa tentera Kesultanan Sulu sejak 9 Februari lalu.

Insiden pertempuran antara pasukan keselamatan negara dan kumpulan bersenjata itu pada dua kejadian berasingan di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Jumaat lepas dan Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabtu lepas, telah mengorbankan lapan anggota polis dan 19 anggota kumpulan pemcercoboh.

Dalam masa sama, Ismail memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan di Kunak, Sandakan dan Semporna adalah terkawal dengan bantuan dan kerjasama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Sehingga kini keadaan keselamatan masih terkawal dan tiada keadaan huru-hara seperti digembar-gemburkan dalam media sosial," katanya pada sidang media bersama Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Lahad Datu di sini.

Beliau turut menegaskan bahawa moral pegawai dan anggota polis dalam menjaga keselamatan rakyat Sabah kekal berada di tahap yang tinggi walaupun kehilangan lapan anggotanya.

Jaminan Ismail, itu ditegaskan oleh Panglima Angkatan Tentera dan berkata pihaknya menggerakkan anggota tambahan bagi membantu polis mengawal keselamatan di kawasan pantai Timur negeri itu.

"Kami akan membantu polis untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan Sabah," katanya.

Zulkifeli berkata ATM yang kini berada di barisan kedua dalam menangani isu itu, telah menambah kekuatan logistik taktikal dan batalion dari luar Sabah dalam membantu usaha polis menjaga keamanan di negeri itu.


Tinjauan Bernama di kawasan Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, mendapati pihak berkuasa keselamatan menempatkan unit kereta perisai di kawasan itu.

Sementara itu, suasana di Kampung Sri Jaya, Simunul, semalam tenang.

Tinjauan Bernama mendapati laluan masuk ke perkampungan atas air itu dan kawasan sekitarnya dikawal oleh anggota tentera dan polis dan pasukan keselamatan menasihatkan penduduk, yang masih tinggal di perkampungan itu, supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

Keadaan di bandar Semporna pula tetap aman dan terkawal meskipun agak lengang berbanding situasi biasa manakala suasana di Lahad Datu juga dilaporkan tenang. -SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...