#PrayForMH370

#PrayForMH370

Tuesday 26 March 2013

Komplot Bunuh Dr. Mahathir Didedah!


PASIR PUTEH: Dua bekas ahli PAS mendedahkan komplot untuk menculik, mencederakan dan membunuh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ketaksuban mereka terhadap Amanat Haji Hadi yang menghalalkan pimpinan UMNO dibunuh.

Kumpulan pertama merancang perkara itu pada 1988 untuk menculik dan membunuh Dr Mahathir manakala kumpulan kedua pula pada 1994, yang mahu melempar bom petrol ketika beliau melakukan lawatan di Semarak, di sini.


Perkara itu didedahkan bekas Exco Pemuda PAS Kedah, Zainon Ismail atau lebih dikenali dengan nama pena CN Al-Afghani, 57, dan bekas Timbalan Ketua Keselamatan PAS Kelantan, Shaidi Hussin, 45, kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Himpunan Selamat Tinggal PAS di Gaal, di sini.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka yang kini sudah insaf dan memohon maaf kepada Dr Mahathir di atas tindakan dipengaruhi ketaksuban terhadap pemimpin PAS ketika itu.

Zainon yang juga penulis buku 'Kafirkah Aku?' mendakwa dia bersama lebih 30 orang yang semuanya ahli PAS, merancang untuk menculik dan seterusnya membunuh Dr Mahathir yang dianggap darahnya halal.


"Oleh kerana ketika itu saya lihat sistem pilihan raya di Malaysia lambat untuk PAS mencapai kemenangan, saya merancang untuk merampas kuasa atau membunuh Perdana Menteri pada masa itu. Kami juga telah menyiapkan Kabinet sementara dengan melantik Haji Hadi sebagai Perdana Menteri. Bagi kami ketika itu, membunuh Dr Mahathir adalah satu ibadat. Kami memahami sebegitu daripada Amanat Haji Hadi."

"Bagaimanapun, sebelum perancangan itu berjaya dilaksanakan, pihak keselamatan dapat menghidu rancangan kami dan sebahagian ahli kumpulan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya yang mengakui tidak memaklumkan mengenai rancangan itu kepada kepimpinan atasan PAS ketika itu.

Zainon yang pernah ditahan mengikut ISA selama enam tahun dari 2001 hingga 2006 berkata, PAS kini tidak lagi memperjuangkan Islam malah telah menggadai agama suci itu selepas bertahaluf siyasi (kerjasama) dengan DAP dan PKR.

Shaidi pula mendedahkan selepas berlaku peristiwa pembunuhan Memali pada 1985, beliau diarahkan oleh ketuanya untuk merancang membunuh Dr Mahathir.


Katanya, mereka merancang untuk melempar bom petrol yang dicampur dengan racun ketika lawatan Dr Mahathir di Semarak. Bagaimanapun, cubaan itu gagal kerana kawalan ketat oleh pihak keselamatan terhadap Dr Mahathir ketika itu.

"Ketika itu saya yakin benar kerana kepimpinan PAS ambil sejarah Rasulullah dan membandingkan dengan sejarah perjuangan PAS. Di situ saya yakin sehingga sanggup untuk menyertai komplot membunuh Dr Mahathir," katanya yang mendakwa mendapat latihan ketenteraan di selatan Thailand. -Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...