#PrayForMH370

#PrayForMH370

Wednesday 13 September 2017

Raja Muda Kedah Dimasyhur Sultan Kedah Baharu


ALOR SETAR - Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah yang ke-29 menggantikan Almarhum kekandanya, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Pemasyhuran itu dibacakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Istana Anak Bukit di sini hari ini setelah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja.


Almarhum Sultan Abdul Halim mangkat pada 2.30 petang kelmarin di istana tersebut.

Perkara Sembilan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan pelantikan untuk menaiki takhta kerajaan negeri Kedah adalah ditetapkan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja yang turut dianggotai menteri besar sebagai Yang Dipertua majlis berkenaan.

Setelah dimasyhurkan, Pengelola Bijaya Diraja/Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah kemudiannya menghadap Tunku Sallehuddin untuk mengiringi baginda ke singgahsana yang terletak di Dewan Penghadapan.

Syed Unan kemudiannya melaungkan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali yang disambut oleh hadirin dan serentak itu paluan nobat dan tiupan nafiri dikumandangkan.

Istiadat diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadil Awang.

Tunku Sallehuddin kemudiannya menyentuh peterana Almarhum Sultan Abdul Halim, menandakan istiadat pemakaman akan dimulakan.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Puan Muda Kedah Tengku Maliha Tengku Ariff, Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz dan Tunku Laksamana Kedah Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tunku Salehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Tunku Sallehuddin diisytiharkan sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggantikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat pada 21 Mei 2014 dan memegang jawatan itu sehingga 12 Disember tahun lalu.

Pada 15 Disember lepas baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah setelah Sultan Abdul Halim kembali memayungi negeri Kedah selepas lima tahun bersemayam di Istana Negara sebagai Yang di-Pertuan Agong.


Latar Belakang

Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 merupakan anakanda kesembilan Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Almarhum Sultan Badlishah yang memerintah Kedah dari 1943 hingga 1958, mempunyai tujuh orang putera dan tujuh puteri.

Tunku Sallehuddin, 75, diputerakan pada 30 April 1942, mempunyai kelulusan pendidikan tinggi daripada College of Military Engineering Poona di India.

Minat mendalam dalam bidang ketenteraan mendorong baginda memilih menjalani latihan kadet dan dihantar ke India menjalani kursus ketenteraan di Indian Military Academy, Dehra Dun dari 23 Julai 1962 hingga 30 Jun 1963.

Baginda kemudian ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 23 Oktober 1963.

Tunku Sallehuddin kemudian dinaikkan pangkat sebagai Leftenan pada 12 Februari 1964 dan ditempatkan di Batalion Ke-2 RAMD di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Sepanjang perkhidmatan, baginda terlibat dalam pelbagai operasi di sempadan Thailand/Kelantan, Kedah dan Perak.

Tunku Sallehuddin yang menyandang beberapa jawatan penting antaranya Canselor Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dan Yang Dipertua Majlis Agama Negeri Kedah.

Adinda Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah itu mendirikan rumah tangga dengan Tengku Maliha Tengku Ariff dan dikurniakan dua putera. 

Tunku Sallehuddin sebelum ini dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah sempena keberangkatan pulang Almarhum Tuanku Abdul Halim setelah tamat tempoh lima tahun penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 15 Dis 2016.

Tunku Sallehuddin menggantikan Raja Muda Kedah sebelum itu, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, yang mangkat pada 29 Nov 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, akibat kegeringan.

Baginda juga pernah menyandang jawatan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggantikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat pada 21 Mei 2014 dan memegang jawatan itu sehingga 12 Dis 2016.

Jemaah Pemangku terbubar secara sendiri apabila Sultan Abdul Halim menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dan kembali memayungi negeri sebagai Sultan Kedah. - Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...