Amalan boleh didukung sesiapa saja
Kelahiran dan pertumbuhan politik Islam didorong oleh pemikiran dan nilai universal yang dianjurkan oleh ajaran agama Islam. Dalam kata lain, ajaran agama yang bersifat sejagat berhubung pelbagai persoalan kehidupan manusia menjadi sumber dan sandaran terpenting perkembangan politik Islam. Ini bererti, pembabitan dalam menjayakan politik Islam dari segi cita-cita dan amalannya boleh didukung dan disertai oleh sesiapa sahaja, Muslim dan bukan Muslim asalkan mereka bersedia menerima prinsip asas perjuangan politik Islam.
Barangkali perumpamaan mudah bagi memahami perkara ini ialah dengan membandingkan politik Islam dengan perkembangan sistem kewangan Islam yang tumbuh dengan pesat di negara ini. Sistem kewangan Islam lahir dan tumbuh kerana didorong oleh idea mengenai keadilan dan kesaksamaan ekonomi dalam ajaran agama.
"Politik Islam ialah sistem yang luhur, terbuka kepada sesiapa saja tanpa mengira latar kehidupan termasuklah mereka yang tidak menganut kepercayaan dan mengamalkan ajaran Islam. Penyertaan orang bukan dalam sistem politik Islam harus dialu-alukan selagi mereka bersedia mendukung prinsip dan nilai luhur kesejagatan perjuangan politik Islam. Pada masa yang sama tidak menjadi batu penghalang kepada usaha menjayakannya."
Nilai kesejagatan
Dari perspektif Islam, harta dan seluruh sumber hasil mahsul bumi yang kaya adalah milik Allah dan manusia dipilih sebagai pemegang amanahnya. Untuk itu, manusia harus memastikan sumber kekayaan ini diagihkan secara adil dan saksama kepada sesiapa saja yang berhak. Manusia dianjurkan untuk saling berkongsi sumber kekayaan untuk manfaat diri dan persekitarannya menerusi pelbagai usaha yang wajar. Sebarang urusan dalam perusahaan ini hendaklah disandarkan kepada cara dan kaedah yang saling dipersetujui. Sebarang bentuk unsur penipuan dan penganiayaan sama ada secara tersurat dan tersirat ditegah sama sekali.
Dorongan ajaran agama mengenai cara kehidupan berekonomi secara adil dan saksama ini jelas memaparkan nilai kesejagatannya dalam sistem kewangan Islam. Semua manusia, tanpa mengira latar bangsa dan agamanya pasti akan berasa selesa berurusan dengan sistem kewangan yang diasaskan pada prinsip dan nilai kesejagatan ini.
Nilai sejagat ini memenuhi fitrah kejadiannya sebagai seorang insan. Penyataan ini jelas terbukti. Pengenalan sistem kewangan Islam menarik penyertaan luar biasa dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Suatu yang penting dicatatkan dalam konteks perkembangan sistem kewangan Islam di Malaysia ialah apabila menurut laporan, peserta dalam kalangan bukan Islam adalah antara majoriti yang terbabit dalam urus niaga kewangan berasaskan Islam.
Ternyata, sistem kewangan Islam bersifat terbuka dan boleh disertai sesiapa saja termasuk bukan Islam. Apa yang lebih menarik lagi ialah, kini, pendukung yang menawarkan produk kewangan Islam bukan hanya dalam kalangan bank dikuasai orang Islam, malah juga yang dikuasai oleh bukan Islam.
Perbandingan ini penting dijelaskan kerana pada pandangan penulis, politik Islam juga seumpama sistem kewangan Islam. Ia adalah berkenaan dengan agenda membangunkan satu sistem kenegaraan yang diteraskan pada prinsip dan nilai kesejagatan yang dianjurkan oleh Islam. Ia membabitkan tawaran mengenai sistem tata kelola negara yang baik kepada seluruh rakyat terbanyak. Sistem politik Islam dipandu oleh ikrar bagi memberikan hak dan peluang saksama kepada semua berasaskan tafsiran prinsip keadilan dalam konteks sejarah kenegaraan.
Ia seterusnya diseiringkan dengan amalan yang tercerna menerusi pelbagai dasar, sikap dan program kerajaan dalam pelbagai bidang kehidupan. Keseiringan ikrar dan amalan akan membentuk sistem politik Islam yang kukuh yang mana rakyat berasa terjamin, tenteram dan yakin untuk berada di bawah sistem naungannya.
Dalam konteks inilah, kita berpandangan, politik Islam ialah sistem yang luhur, terbuka kepada sesiapa saja tanpa mengira latar kehidupan termasuklah mereka yang tidak menganut kepercayaan dan mengamalkan ajaran Islam. Penyertaan orang bukan dalam sistem politik Islam harus dialu-alukan selagi mereka bersedia mendukung prinsip dan nilai luhur kesejagatan perjuangan politik Islam. Pada masa yang sama tidak menjadi batu penghalang kepada usaha menjayakannya.
Kerangka kefahaman yang luas mengenai maksud pemikiran politik Islam harus memberi dorongan kepada setiap parti politik untuk sama-sama mengambil bahagian dalam membangun dan menjayakan sistem politik Islam yang utuh di negara ini. Kita yakin, parti politik yang mampu meningkatkan tahap kesempurnaannya dari segi ikrar dan amalan berpolitik seperti dituntut prinsip dan nilai ajaran agama Islam, mereka akan mendapat kedudukan yang tinggi pada pandangan rakyat terbanyak. Lihat saja contoh sambutan masyarakat dunia terhadap sistem kewangan Islam hari ini, apabila ia semakin hari semakin berjaya meningkatkan kualiti kandungan dan persembahan produk kewangannya.
Sama-sama ambil bahagian
Dalam hubungan ini, kita perlu kritikal terhadap sebarang langkah oleh mana-mana parti politik yang menjadikan politik Islam sebagai satu sistem yang eksklusif atau tertutup kepada satu-satu perkumpulan saja atau menjadikan perjuangan politik Islam hanya milik satu-satu parti seterusnya menafikan sumbangan dan pembabitan parti lain yang juga menunjukkan minat dan usaha bagi mendukung dan menyertainya.
Sikap sebegini membantutkan pertumbuhan politik Islam dalam negara. Sikap seharusnya ialah kita hendaklah terus menggalakkan sesiapa saja terbabit menjayakan agenda pembangunan politik Islam berasaskan ruang dan keupayaan yang dimilikinya dan berterima kasih atas sumbangannya walaupun mungkin hanya sedikit pada pandangan mata kita.
Artikel dipetik dari Berita Harian
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..