#PrayForMH370

#PrayForMH370

Monday, 16 December 2013

Banteras Ajaran Sesat Sama Penting Banteras Jenayah Berat


Usaha membanteras penyebaran ajaran sesat dan fahaman Syiah di negara ini adalah sama penting dengan mencegah kegiatan jenayah berat serta terancang kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan keharmonian masyarakat bahkan mengancam keselamatan negara.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata cadangan untuk menubuhkan sebuah pasukan polis khas atau ‘polis syariah’ bagi membanteras ajaran sesat itu amat bertepatan pada masanya bagi memperkasa pasukan penguatkuasaan di jabatan-jabatan agama Islam. 

“Aspek akidah ini sangat penting, membanteras ajaran sesat ini bagi saya sama penting dengan kes jenayah yang mengancam keselamatan negara kerana kedua-duanya melibatkan soal kepentingan dan keselamatan rakyat secara keseluruhannya.

“Saya menyokong penuh penubuhan polis syariah ini kerana ia bukan sahaja memperkasakan penguatkuasaan bahkan dapat memastikan agenda pembanterasan penyimpang dan penyelewengan akidah ini dapat dilakukan dengan cara yang lebih berkesan, teratur, tersusun serta dapat mengekang daripada peristiwa pembunuhan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang daripada berulang kembali,” katanya kepada Sinar Harian Online dalam sesi wawancara eksklusif, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar semalam yang menyarankan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tumpuan kepada usaha membendung jenayah berat terlebih dahulu sebelum mencampuri bidang kuasa kementerian dan jabatan kerajaan lain dalam memerangi Syiah.

“Menteri harus berhati-hati sebelum membuat tuduhan melulu terhadap mana-mana individu, tumpuan KDN adalah untuk mencegah jenayah berat seharian.

“Kita punyai bidang kuasa masing-masing dan tidak tepat untuk menghentam secara semberono pimpinan Pas dan menggandakan serangan dakwaan yang begitu keras dengan tindakan tiba-tiba dengan mewujudkan satu pasukan polis khas agama,” katanya.

Menurut Asyraf, keperluan untuk menubuhkan pasukan polis syariah itu sangat mendesak malah dakwaan pembangkang mengatakan anggota polis akan hilang fokus itu tidak berasas sedangkan pengkhususan tugasan pihak berkuasa akan lebih teratur apabila pasukan itu diwujudkan nanti.

“Polis syariah ini satu idea yang segar dan baru, ada keperluannya, terutama melihat perkembangan yang sedikit menakutkan kita apabila ajaran sesat boleh mewujudkan satu ketaksuban yang luar biasa hingga berlaku pertumpahan darah seperti pembunuhan ketua penguat kuasa JAIP baru-baru ini.

“Tugas polis akan lebih fokus sekali gus mengelakkan dakwaan bahawa polis akan lupa tentang tanggungjawab untuk membanteras jenayah sedangkan kedua-duanya pun penting, jenayah berat yang mengancam keharmonian itu sama penting jenayah yang bersifat berakar daripada akidah yang salah,” katanya.

Jelasnya ancaman ajaran sesat dan fahaman Syiah tidak boleh dipandang remeh kerana akidah yang terpesong boleh menyebabkan keperibadian seseorang itu berubah. 

Lebih bahaya sehingga ada yang boleh melakukan perkara di luar batasan dan norma hidup.

“Akidah yang salah ini boleh mencorakkan keperibadian berfikir tentang perkara yang tidak masuk akal seperti membunuh dan sebagainya.

“Kalau kita lihat sejarah perkembangan ajaran sesat selepas zaman Nabi Muhammad SAW, ia sering kali akan terbawa-bawa sampai ke peringkat menghalalkan darah umat Islam itu sendiri,” katanya lagi. -Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...