#PrayForMH370

#PrayForMH370

Monday 25 January 2016

DAP Hilang Undi Melayu Jika Konsisten Anti-Islam


SHAH ALAM - DAP bakal kehilangan undi pengundi Melayu pada PRU14 akan datang jika tidak mengikis imej anti-Islam yang ditonjolkannya kerana agresif menentang dasar-dasar Islam termasuk hudud yang dibawa oleh Pas.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, mustahil bagi DAP mengekalkan undi Melayu jika mereka berterusan menentang hudud yang menjadi sebahagian daripada ajaran Islam.

“Walaupun DAP kata mereka tidak anti-Islam, tetapi tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan itu boleh ditafsirkan sebagai anti-Islam. Kita tahu hudud itu sebahagian penting dalam Islam, kalau menentang hudud, maksudnya menentang Islam.

“Orang Islam mana kata hudud itu tidak baik, sebab dalam Islam, hudud itu perlu diterima sebagai sebahagian daripada agama dan ajaran Islam. Begitu juga MCA dan Gerakan, bila mereka menentang hudud itu, mahu atau tidak mereka juga kelihatan menentang Islam,” katanya kepada Sinar Online.

Beliau mengulas dilema DAP dalam mengekal dan meraih sokongan undi orang Melayu selepas mengisytiharkan Pas sebagai musuh politik susulan DAP menentang dasar Islam yang dibawa parti itu khususnya untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Dalam pada itu, Kok Seong juga berkata, pemimpin DAP perlu menggunakan bahasa dan tingkah laku yang mesra orang Islam jika tidak mahu kehilangan lebih sejuta undi Melayu dalam Pas.

“(DAP) jangan kelihatan sebagai anti-Islam. Tindakan DAP melalui kepimpinan tertingginya dalam hal hudud tidak disenangi oleh orang Melayu, cara bahasa dan tindakan digunakan itu semua tidak berlapik.

“Sedangkan orang Melayu tidak suka bahasa yang secara langsung itu, harus berlapik, mereka tak akan kata curi, mereka kata tangan panjang, orang Melayu ini lebih sopan, menjaga perasaan pihak satu lagi, kias, bersifat konfrontasi bahasa itu,” jelasnya.

Teo berkata lagi, hukum hudud merupakan isu yang begitu dekat dengan hati orang Melayu Islam dan permusuhan DAP terhadap ajaran Islam itu tidak mengambil kira sensitiviti orang Melayu yang majoritinya beragama Islam dan dalam kalangan ahli tegar Pas.

“Kalau DAP jadi parti pelbagai kaum, terutamanya yang boleh disenangi orang Melayu, jadi cara kepimpinan DAP dalam menangani hal-hal Melayu terutamanya Islam itu perlu ada perubahan.

“Jangan begitu agresif hingga kelihatan anti-Islam. Ini sudah tentu merugikan DAP dari segi sokongan orang Melayu dalam Pakatan Harapan, kali ini mereka mengharapkan sokongan dari Amanah,” katanya lagi. -SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...