#PrayForMH370

#PrayForMH370

Tuesday 12 November 2013

Ajaran Sesat Ancam Keselamatan Negara


Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bimbang penyelewengan ajaran sesat boleh bertukar menjadi ancaman militan yang berupaya menggugat keselamatan negara.

Berikutan itu, katanya, polis memandang serius kejadian menimpa Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abdul Malek yang mati ditembak di Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang kelmarin yang menunjukkan pengikut ajaran sesat mampu bertindak ganas sehingga membunuh. 

Khalid berkata, Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/ Anti Pengganas) Bukit Aman turut bersama Pasukan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat pelbagai aspek berkaitan mangsa yang boleh membawa kepada petunjuk motif kejadian. 

“Pasukan khas sedang menyiasat semua aspek termasuk berkaitan isu keagamaan, permusuhan sepanjang tempoh berkhidmat dan kaitan dengan isu Syiah.

“Penyelewengan agama boleh bertukar menjadi militan, ia tidak baik untuk negara dan boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah dari Perspektif Islam, di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini semalam.

Dalam pada itu, polis menggesa 31 pengikut kumpulan ajaran sesat dikenali sebagai ‘Tuhan Harun’ menyerah diri kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan kes tembak Ahmad Raflie.


Beliau berkata, semua pengikut ajaran sesat itu sudah diarahkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk menyerah diri selepas ketua ajaran itu dan beberapa pengikutnya ditahan JAIP pada 3 April tahun ini.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Rafli mati selepas terkena tiga das tembakan di rumahnya di Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang.

Tiga suspek lelaki berjubah hitam dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna putih selepas menembak mangsa.
Di Georgetown, Khalid berkata pihaknya tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pengikut ajaran agama yang bertukar menjadi pelampau.

Justeru, katanya, polis akan memantau penyebaran ajaran Syiah di negara ini secara dekat, termasuk di institut pengajian tinggi (IPT) selain mengakui mempunyai anggaran jumlah pengikut ajaran berkenaan di negara ini. -Berita Harian

p/s: Pergerakan ajaran sesat secara tidak langsung memberi ancaman keselamatan negara. Seharusnya agensi keselamatan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa agama dalam menangani isu ini. Pada pendapat Tok Kenari, keselamatan negara adalah tanggungjawab semua, tak kira dari pihak kerajaan, swasta mahupun masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...