#PrayForMH370

#PrayForMH370

Tuesday, 12 November 2013

DAP Sekeh PAS Lagi


Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, pernah berkata antara sebab partinya berkawan dengan DAP adalah untuk mentarbiyahkan pemimpin dan ahli parti rasis dan cauvinis itu. PAS berharap pemimpin DAP akan lebih memahami agama Islam dan akhirnya menerima dasar perjuangannya.

Selepas lebih 30 tahun berkenalan dan mengadakan pakatan politik, nampaknya Nik Aziz gagal. Selepas mengenali Islam dan PAS, pemimpin DAP menjadi lebih keras dan kurang berkompromi. 

Terbaru, Karpal Singh mencadangkan PAS gugurkan nama Islam dan membuka keahliannya kepada semua kaum. Jika tidak, PAS elok batalkan pendaftarannya atau dibubarkan saja. Beliau menganggap PAS parti yang bahaya, justeru perlu bersikap praktikal jika mahu melihat negara ini bersatu padu. 

Nik Aziz membisu

Kenyataan ini bagaikan PAS kena sekeh lagi, kata orang Kelantan. Ia dibuat beberapa hari selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah yang menyaksikan PAS mengalami kemerosotan undi majoriti yang serius. 

Nik Aziz yang menyambut hari jadi Karpal pada Jun lalu, tidak memberi komen terhadap saranan Pengerusi DAP itu walaupun dia terkenal sebagai orang yang lazimnya memberi jawapan sarkastik terhadap kenyataan atau sesiapa yang tidak disukainya.

Antara pemimpin PAS yang memberi maklum balas ialah Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib dan Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Walaupun Tuan Ibrahim menganggap kenyataan Karpal sebagai tidak patut, tidak bijak, dibuat sesuka hati dan merugikan pakatan pembangkang, hakikatnya pemimpin DAP itu konsisten sejak dulu. 

Karpal pernah berkata: “You cannot have Islamic law or hudud in a secular state. We go by the Constitution. I keep repeating this. What the Constitution provides, PAS must respect.” 

Tambahnya: “PAS should search its conscience before levelling such charges that are devoid of basis or logic. The DAP cannot compromise its stand. The DAP does not believe in running with the hares and hunting with the hounds.”

Jelas, DAP tidak boleh menerima dasar Islam PAS dan perjuangannya untuk menegakkan undang-undang dan hukum Islam dalam pentadbiran. Buktinya, DAP membantah peraturan melarang penjualan arak di kedai 24 jam, penutupan premis hiburan sepanjang Ramadan serta membuka panggung yang mengasingkan lelaki dan perempuan. Jika dalam perkara kecil seperti ini pun PAS tidak mampu berdepan dengan DAP, apatah lagi dalam perkara besar seperti hukum hudud dan penubuhan negara Islam.

Apabila Brunei mengumumkan pelaksanaan hukum syariah baru-baru ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob merasa teruja lalu disebut lagi mengenai hasrat PAS memperkenalkan hukum hudud di negeri itu. Padahal, ini sudah cerita basi dan tidak boleh menjadi modal politik PAS lagi. PAS sudah sebut hal ini lebih 30 tahun – sekali jadi, sekali tak jadi; sekali boleh, sekali tak boleh. 

Alasan PAS hukum hudud tidak dapat dilaksanakan di Kelantan kononnya kerana amaran Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Tapi Dr Mahathir sudah bersara lebih 11 tahun, adakah PAS masih terkesan dengan amaran itu? PAS takut Allah SWT atau Dr Mahathir?


Masih jaja isu hudud

Sebenarnya, PAS tidak ada hujah lagi. Sultan Kelantan sudah memberi perkenan baginda dan tempoh pemerintahan PAS di Kelantan berterusan selama 23 tahun (28 tahun pada 2018). 

Lagipun, PAS berkuasa majoriti dalam DUN dan prasarana juga cukup. Dalam manifesto dan ceramah pilihan raya, pemimpin PAS masih menjaja isu ini. 

Menjelang PRU-13, PAS Kelantan mengumumkan penubuhan jawatankuasa teknikal (entah untuk kali ke berapa) bagi mengkaji pelaksanaan hukum hudud yang dipengerusikan Datuk Nik Amar Nik Abdullah, kini Timbalan Menteri Besar.

Namun, jawatankuasa ini tidak pernah dilaporkan bermesyuarat. PAS juga menambat hati pengundi Melayu-Islam Kedah dengan menjanjikan pelaksanaan hukum hudud jika menang dalam PRU-13. 

Apabila PAS menang, Menteri Besar (Allahyarham) Tan Sri Azizan Abdul Razak memberi alasan pentadbirannya akan melaksanakan hukum hudud di Kedah selepas Kelantan.

Sebenarnya bukan pasal Dr Mahathir, perkenan Sultan atau sekatan Perlembagaan. Hakikatnya ialah PAS takutkan DAP. Karpal pernah memberi amaran untuk langkah mayatnya jika PAS mahu melaksanakan hudud. 

Karpal kini berusia 73 tahun. PAS mungkin mahu tunggu Karpal benar-benar mati untuk merealisasi matlamat parti. Tapi percayalah, andainya Karpal meninggal dunia, masih ada ‘karpal’ lain dalam DAP yang akan tetap membantah hasrat PAS. Maknanya, selagi PAS bersama DAP dalam pakatan politik, selama itulah ia terpaksa menggigit jari.

Artikel dipetik daripada Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...