#PrayForMH370

#PrayForMH370

Wednesday, 6 November 2013

Dr Zakir Naik, Tan Sri Abdul Hamid Tokoh Maal Hijrah 1435H

Dr Zakir, Hamid  tokoh Maal Hijrah

Presiden Yayasan Penyelidikan Islam, Mumbai yang juga pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Abdul Karim Naik dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1435H/2013M. 

Dr Zakir, 48, dan Abdul Hamid, 69, dipilih menerima anugerah berkenaan atas sumbangan mereka dalam memartabatkan Islam di peringkat antarabangsa dan nasional serta mendapat pengiktirafan pelbagai pihak. 

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan anugerah itu kepada kedua-dua tokoh berkenaan pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di sini, semalam. 

Kedua-dua penerima masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pingat penghargaan Maal Hijrah dan sijil penghargaan. 

Dr Zakir merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia kerana memilih beliau sebagai penerima anugerah berkenaan pada tahun ini.

“Saya akan meneruskan misi saya selama ini untuk menyebarkan mesej keamanan melalui media ke seluruh dunia,” katanya. 

Abdul Hamid pula berkata, anugerah berkenaan adalah penghormatan yang besar kepada beliau dan keluarga sepanjang 42 tahun berkhidmat dalam kerajaan. 

“Ini adalah pelengkap kerjaya saya. Terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan penghargaan yang begitu tinggi kepada saya,” katanya. 

Abdul Hamid berkata, anugerah itu juga akan menjadi pemangkin kepada beliau untuk terus berbakti kepada agama dan bangsa serta terus memperjuangkan agenda Islam di negara ini. 

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pemilihan kedua-dua tokoh berkenaan dibuat berdasarkan peranan besar mereka dalam mengembangkan dakwah di dalam negara dan peringkat antarabangsa.

Sumber: Berita Harian.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...