ALOR SETAR - Hak penjagaan beberapa pelajar Pusat Tahfiz Amal (PTA) dekat Jalan Yan - Kuala Kedah yang dikenalpasti sebagai anak yatim, akan diambil alih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengelakkan mereka dieksploitasi.
Timbalan Pengarah 1 JKM Kedah, Ahmad Rashid berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan hak penjagaan itu secepat mungkin kerana PTA dipercayai melakukan kesalahan dengan mengeksploitasi kanak-kanak untuk tujuan perniagaan.
Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya belum dimaklumkan secara khusus mengenai kes itu oleh Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) dan hanya mengetahuinya melalui laporan akhbar.
“Kita sebenarnya memandang serius isu membabitkan pelajar terbabit. Kemungkinan mereka akan ditempatkan sementara waktu bawah jagaan JKM sehingga beberapa masalah selesai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Menurutnya, pelajar yang mempunyai keluarga berhak pulang berjumpa dengan waris dan penjaga boleh datang ke PTA untuk tujuan sama.
“Kita akan siasat rayuan pelajar ini kerana takut ada unsur-unsur penderaan terhadap mereka. Kalau ada, kita akan ambil tindakan tegas.
“Perkara seperti ini tidak patut berlaku dan kita akan menyiasat. Mereka (pelajar) dihantar ibu bapa ke PTA untuk belajar. Waris juga sudah menandatangani beberapa surat perjanjian sebelum membenarkan anak mereka menuntut di situ,” katanya.
Ahmad berkata, JKM pernah menahan beberapa pelajar terbabit sekitar Alor Setar ketika sedang melakukan perniagaan di tempat awam.
“Kita pernah tahan pelajar dan membawa balik ke pejabat untuk disiasat. Kemudian, kita menghubungi pihak sekolah agar menjemput mereka.
“Tetapi ibu bapa pelajar sendiri yang datang menjemputnya. Mereka diambil dan dihantar semula ke PTA dengan alasan sedang melakukan pembelajaran yang menjadi sebahagian subjek teras di situ,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu menyebabkan pihaknya sukar untuk membendung gejala itu daripada terus berleluasa.
“Kita akan ambil tindakan serius kalau ada arahan rasmi dari Jaik untuk bersama menangani masalah pelajar di PTA,” katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan, pelajar PTA kemungkinan akan diserahkan kepada JKM untuk tindakan susulan.
Menurut laporan itu, Timbalan Pendaftar Sekolah-sekolah Agama Jaik, Sheikh Mohd Fahdil Ab Rahman berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..