Tindakan kerajaan negeri mendaftarkan Maktab Mahmud sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) adalah untuk manfaat pelajar dan guru, dan yakin perubahan itu akan meningkatkan kredibiliti kerajaan negeri, bukan sebaliknya.
Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan tindakan itu dengan kredibiliti kerajaan negeri adalah tidak relevan, malah proses pendaftaran berjalan lancar.
“Saya andaikan kredibiliti kerajaan negeri akan dilihat lebih tinggi kerana kita berusaha meletakkan Maktab Mahmud ke tahap yang lebih cemerlang. Lembaga Maktab Mahmud sepakat dan mohon permohonan diteruskan,” katanya, selepas menyerahkan surat hasrat mewakili Lembaga Maktab Mahmud kepada Ketua Sektor Kemajuan Sekolah Agama, Bahagian Pendidikan Islam, Shamsul Shah Tarjo, semalam.
Menurutnya, pendaftaran akan dibuat sejurus surat berkenaan diserahkan, dan pihaknya menjangkakan memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani dalam tempoh empat bulan.
“Hari ini kita muktamadkan persetujuan daftar 10 Maktab Mahmud dengan Kementerian Pelajaran. Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim memberi perkenan 10 Januri lalu,” katanya.
Tajul Urus berkata, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran sebagai SABK dan ditadbir bersama oleh Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) berdasarkan persefahaman ditandatangani.
“Dalam hal ini, silibus dan ko-kurikulum dikekalkan mengikut model Maktab Mahmud, dipersetujui Ahli Lembaga dan guru. Status quo Lembaga Maktab Mahmud dan Maktab Mahmud daerah didaftarkan sebagai SABK adalah kekal seperti sedia ada.
Perkara berkaitan dengan aspek teknikal akan dimuktamadkan dalam MoU,” katanya.
Menurutnya, dua lagi Maktab Mahmud di Alor Setar dan Yan akan terus berada bawah pembiayaan kerajaan negeri, berikutan prestasi akademik dan pembangunan fizikal memuaskan.
“Kita pilih 10 Maktab Mahmud itu untuk membolehkan kerajaan persekutuan memberikan bantuan dan sumbangan yang lebih baik meliputi perjawatan, perkhidmatan, kewangan, kurikulum dan ko-kurikulum,” katanya.
Tajul Urus berkata, antara manfaat mendaftar SABK, termasuk penjimatan perbelanjaan kerajaan negeri sebanyak RM26 juta setahun.
“Perbelanjaan Lembaga Maktab Mahmud setahun sebanyak RM39 juta. RM26 juta setahun boleh disalurkan kepada pembangunan syiar Islam yang lain antaranya pembinaan masjid, surau dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, pelajar turut berpeluang mendapat pendidikan berkualiti iaitu Kurikulum Dini (Azhari) yang akan diselaraskan.
“Proses untuk jadikan sebagai Kurikulum Kebangsaan sedang dibuat. Kementerian merancang untuk menjadikan Kurikulum Dini (Azhari) sebagai Kurikulum Kebangsaan bermula tahun ini,” katanya.
Tajul Urus berkata, pelajar juga dapat mengikuti kelas Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran (KKQ) dianugerahi Sijil Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran (KKQ) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan dan diiktiraf Darul Al Quran Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).
“Pelajar berpeluang menyertai aktiviti ko-kurikulum di semua peringkat. Markah ko-kurikulum diperlukan untuk kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT). Jawatan guru dan kakitangan secara kekal dan diserap ke dalam perkhidmatan kerajaan serta berpeluang menikmati kemudahan dan kelayakan seperti sekolah arus perdana,” katanya.
Menurutnya, manfaat lain termasuk mendapat sumbangan modal dan bantuan, tanah dan bangunan kekal milik sedia ada serta nama sekolah dikekalkan.
“Sekolah akan menerima guru terlatih mengikut norma perjawatan seperti Guru Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran (KKQ), Guru Data dan Guru Kaunselor. Gaji guru ganti dibuat mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2011,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..