#PrayForMH370

#PrayForMH370

Monday, 24 February 2014

Elak Dari Terlibat Dengan Golongan Anti Hadis

Mohamad Shukri Mohamad

KOTA BHARU – Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad memberi amaran tegas kepada seluruh umat Islam supaya tidak mengamalkan ajaran, pegangan atau fahaman dalam buku atau risalah bersifat anti hadis.

Menurutnya, kemunculan semula 'Golongan Anti Hadis' dapat dilihat apabila umat Islam berada dalam keadaan lemah, akibat perpecahan sesama sendiri sehingga golongan itu muncul di tengah-tengah umat Islam yang terpukau dengan konspirasi menghina Islam dalam pelbagai bentuk.

“Sesudah kalimah ALLAH dicetuskan sebagai isu, kini kedudukan Rasullah SAW, hadis dan ulama dijadikan sasaran gerakan mengelirukan serta menyesatkan umat Islam.

"Perkara ini perlu diambil perhatian kerana kini pelbagai cabaran penyebaran fikiran songsang menyesatkan umat Islam dapat dilihat melalui pelbagai saluran media," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamad Shukri berkata, umat Islam juga tidak boleh bersekongkol atau bersubahat dengan apa-apa aktiviti yang bertujuan mendukung ke arah pemikiran sesat ataupun menyesatkan mana-mana pihak, selain perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dengan keadaan yang boleh membawa atau menyebabkan kemurtadan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan pemikir, Dr Kassim Ahmad yang didakwa menolak hadis dan mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan Ahli Sunah Wal Jamaah, selain turut didakwa mengkritik golongan umat Islam yang disifatkannya sebagai ‘kasta paderi’.

Kassim yang didakwa mengeluarkan kenyataan itu pada Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian di Putrajaya minggu lalu, turut mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak perlu dimuliakan, selain menyifatkan rambut bukan aurat bagi wanita.


Mohamad Shukri berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menerusi Jemaah Ulama yang bersidang pada November 1995 lalu, memfatwakan buku dikeluarkan kumpulan Anti Hadis yang mengandungi ajaran, pegangan dan fahaman bertentangan dengan akidah, syariah serta mengelirukan individu dan masyarakat Islam adalah haram dan membawa murtad.

Beliau mengingatkan umat Islam tidak terjerumus dalam keadaan yang membawa kepada murtad, sebagaimana salah satunya mengingkari hukum syarak disepakati dan dikenal pasti dalam agama.

“Kita tidak boleh mengingkari salah satu rukun akidah seperti tauhid ALLAH SWT, kenabian Muhammad Rasulullah, al-Quran sebagai kalamullah, malaikat, kitab, Rasul dan hari kiamat serta melakukan perbuatan khusus bagi orang kafir seperti melakukan salah satu upacara ibadat mereka.

“Mengucapkan ucapan membawa kepada kekafiran, yang mana diyakini ataupun mempersendakan atau mencela Tuhan (ALLAH SWT) dan ajaran agama, menafikan Rasul, mendustai salah satu Nabi atau Rasul atau menghina hukum syarak adalah dilarang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...