#PrayForMH370

#PrayForMH370

Monday, 19 May 2014

Kuatkuasa Undang-Undang Jenayah Sihir


Undang-undang untuk membolehkan individu yang mengamalkan jenayah sihir ditangkap serta didakwa di mahkamah perlu dikuatkuasakan agar jenayah itu dapat dibanteras dari peringkat awal.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, perkara itu penting untuk mencegah segelintir individu menggunakan sihir kerana amalan tersebut sukar untuk dibuktikan atau dikesan penggunaannya.

"Kita sukar untuk membuktikan mereka menggunakan sihir ke atas orang lain. Jadi, jika didapati ada individu seperti bomoh atau dukun yang mengamalkan sihir, tangkap dan dakwa mereka. Jangan tunggu sehingga mereka sudah menggunakan (sihir) ke atas orang lain baru hendak tangkap.

"Jadi, undang-undang untuk mencegah perkara ini perlu dibentuk agar kita dapat membanteras mereka yang mengamalkan atau menggunakan ajaran ini sejak dari mula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rabu lalu, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kajian Undang-Undang Sihir, Dr. Mahyuddin Ismail berkata, sudah sewajarnya mangsa yang terkena sihir dibela, apatah lagi ia membabitkan kes penceraian kerana sihir, tertipu angkara pukau, merana sakit dan perniagaan jatuh akibat penggunaan ilmu hitam.


Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad semalam mencadangkan pegawai agama yang berkemahiran menangani jenayah sihir perlu diberi peranan lebih besar di mahkamah bagi meningkatkan pe­nguatkuasaan untuk membanteras jenayah tersebut yang semakin berleluasa.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan tersebut, Abdul Rahman berkata, beliau menyambut baik cadangan itu kerana mereka yang mempunyai pengetahuan dalam menangani perkara tersebut mampu membantu menyelesaikan masalah itu.

Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut juga perlu bergantung kepada pihak mahkamah sama ada mereka memerlukan khidmat pegawai agama kerana jenayah itu tidak berlaku pada setiap masa. "Saya melihat perkara ini (jenayah sihir) berkala dan tidak selalu berlaku. Saya rasa pegawai-pegawai agama itu boleh dipanggil jika terdapat kes-kes yang melibatkan jenayah sihir di mahkamah.


"Sebagai contoh yang berlaku kepada pegawai perubatan atau doktor, mahkamah akan memanggil jika terdapat kes yang memerlukan khidmat mereka," katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...