#PrayForMH370

#PrayForMH370

Friday 26 December 2014

Pas, DAP Akan 'Tenggelam' Jika Bincang Hal Hudud #bah2014


KUALA LUMPUR - "Kami tidak mahu bertengkar mengenai hukum hudud, nanti kedua-duanya (Pas dan DAP) tenggelam dalam banjir," kata Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Demikian menurutnya ketika pemberita cuba mengajukan soalan mengenai hukum hudud yang cuba dipolitikkan ketika Kelantan dilanda banjir besar ketika ini.

Mustafa dengan nada sinis mahu perkara itu dilupakan seketika kerana pihaknya mahu menumpukan kepada usaha membantu mangsa banjir di empat negeri yang terjejas seperti di Kelantan, Terengganu, Perak dan Pahang.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub merakamkan penghargaannya kepada banyak pihak yang telah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di empat negeri terbabit.

Salahuddin berkata, sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan ataupun makanan serta kelengakapan lain sedikit sebanyak dapat melegakan penderitaan banjir.

"Pada saat ini, kita perlu mengetepikan perbezaan ideologi politik dan kita menyambut baik bantuan semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM1 juta dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula RM1.5 juta," katanya.

Ditanya mengenai bantuan kecemasan yang diumumkan kerajaan Pusat baru-baru ini, Mustafa berkata pihaknya tidak maklum sejauhmana ia diagihkan sama ada terus kepada kerajaan negeri atau sebaliknya.

"Kalau boleh kami mahu lebih banyak dana namun peruntukan RM50 juta yang diumumkan kerajaan tidak pula kami ketahui beritanya," katanya.

Dalam pada itu, Mustafa juga berkata, pihaknya tidak pernah mendapat dana yang mencukupi untuk menyelesaikan masalah banjir khususnya di Kelantan menyebabkan projek tebatan Sungai Golok gagal mengawal banjir apabila musih tengkujuh.

"Setahu saya dana itu tidak pernah cukup untuk selesaikan masalah ini (banjir).

"Projek tebatan Sungai Golok hanya dibuat di sebelah Thailand sahaja.

"Perkara ini banyak kali disuarakan Ahli Parlimen Kelantan dari Rantau Panjang dan Tumpat dalam setiap sesi sidang Dewan Rakyat," katanya lagi. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...