#PrayForMH370

#PrayForMH370

Tuesday 12 May 2015

10 Exco Kedah Kekal Termasuk 6 Bertukar Portfolio


ALOR SETAR 11 Mei – Seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk Menteri Besar dikekalkan dan mengangkat sumpah di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit Bukit di sini, hari ini.

Daripada 10 Exco termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mengangkat sumpah itu, enam daripada mereka bertukar portfolio, sementara empat Exco lain kekal dengan jawatan sebelum ini.

Keenam-enam Exco itu ialah Datuk Tajul Urus Mat Zain yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan manakala Datuk Badrol Hisham Hashim pula memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Badan-Badan Bukan Kerajaan.

Turut bertukar portfolio ialah Datuk Mohd Rawi Abd Hamid yang jawatan baharunya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya dan Datuk Norsabrina Mohd Noor pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia.

Barisan Exco baharu turut menyaksikan Aminuddin Omar memegang portfolio Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan sementara Datuk Dr. Leong Yong Kong di portfolio Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan India, Kesihatan dan Perpaduan.

Mukhriz pula mengekalkan portfolio Perancang Ekonomi, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Kewangan dan Syarikat Milik Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Exco-exco lain ialah Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Suraya Yaacob (Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat), Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah (Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan).

Menurut Mukhriz, beliau yakin setiap Exco yang dilantik semula dapat menjalankan tugas dengan baik dan perubahan yang dilakukan itu mengambil kira keperluan setiap portfolio.

“Kita dapat lihat anggota Exco masih sama cuma ada pertukaran portfolio dan apa yang dilakukan ini berdasarkan apa yang saya nilai sebagai kekuatan setiap seorang Exco.

“Selain itu ia juga memberi peluang kepada mereka untuk terdedah kepada tanggungjawab yang berbeza dan peluang untuk dapat pengalaman yang meluas untuk tanggungjawab yang mungkin lebih berat selepas ini,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini selepas menghadiri upacara angkat sumpah jawatan Exco di Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Mukhriz berkata, beliau juga berpuas hati dengan keseluruhan prestasi kesemua anggota Exco dalam mengendalikan portfolio masing-masing dan mereka juga dapat mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat.

-Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...