#PrayForMH370

#PrayForMH370

Wednesday, 27 March 2013

"Terima Kasih Kerana Menjaga Sabah"


"Terima kasihlah Kerajaan Malaysia kerana menjaga kesejahteraan Sabah selama 50 tahun. Sekarang kami datang menuntutnya semula."

Demikian antara kata-kata pengganas yang menceroboh Sabah ketika perundingan dengan pasukan keselamatan pada awal pencerobohan mereka di Kampung Tanduo awal Februari lalu.

Ungkapan mengguris hati itu diceritakan Ketua Polis Lahad Datu, Superintendan Samsuddin Mat ketika berkongsi pengalamannya berunding dengan wakil pengganas terbabit bagi menamatkan krisis pencerobohan itu secara aman.

"Saya rasa amat tercabar apabila mendengar ungkapan itu. Mereka juga secara terang-terangan enggan berundur dengan mengatakan sanggup bermandi darah kecuali Esmail Kiram datang meminta mereka pulang. Walaupun begitu, kita beri mereka peluang meninggalkan negeri ini secara aman bagi mengelakkan pertumpahan darah."

"Pelbagai usaha kita lakukan termasuk mendapatkan kerjasama Filipina untuk membawa Esmail dan menyediakan kapal untuk mereka keluar, namun tidak berhasil," katanya pada taklimat isu semasa yang dihadiri pemimpin masyarakat Lahad Datu anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Esmail ialah adik Jamalul Kiram yang mengaku menghantar tentera ke Sabah untuk mengemukakan tuntutan mereka ke atas negeri ini.


Pengganas mula dikesan di Kampung Tanduo pada 12 Februari lalu dan sejak itu, polis mengetatkan kawalan keselamatan di kawasan Felda Sahabat termasuk mengepung kampung berkenaan.

Samsuddin berkata, wakil pengganas terbabit yang tampil 'alim' dilayan baik dengan harapan mereka berundur secara baik.

Beliau turut mendedahkan, ketua pemerintah pengganas, Datu Amirbaha yang ditahan di Semporna Jumaat lalu antara wakil perunding dengan pasukan keselamatan sebelum ini.

"Sebelum serangan 1 Mac lalu, kita turut menggugurkan 1,600 nota di Kampung Tanduo untuk meminta mereka menyerah diri dan meletak senjata. Selepas itu, 1,400 lagi digugurkan daripada helikopter tetapi tidak dipedulikan. Sebaliknya, kita ditipu kononnya mereka menyerah diri dengan mengibarkan bendera putih, tetapi apabila dihampiri, mereka terus melepaskan tembakan sehingga mengorbankan dua anggota polis dalam kejadian 1 Mac lalu," katanya.

Selepas insiden itu dan ditambah serangan hendap pengganas di Semporna yang mengorbankan enam anggota polis pada 2 Mac, pasukan keselamatan mengambil keputusan melancarkan tindakan keras terhadap pengganas terbabit menerusi Ops Daulat.
Operasi yang dilancarkan pada 5 Mac itu masih berterusan khususnya di sekitar zon merah dalam gugusan Labian di kawasan Felda Sahabat, Tungku, 130 kilometer dari sini.

Sementara itu, Samsuddin berkata, tahap keselamatan di kawasan Felda Sahabat akan diperkuatkan menerusi pembinaan sebuah balai polis baru dan menaik taraf pondok polis Tambisan dengan kekuatan 130 anggota di setiap balai, selain meningkatkan kekuatan balai polis Cenderawasih. -Berita Harian.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...