#PrayForMH370

#PrayForMH370

Thursday 15 October 2015

Ubat Demam Sah Mengandungi Alkohol @KKMPutrajaya


Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan mengarahkan syarikat Royce Pharma Sdn Bhd menarik balik sirap Paracetamol 120mg/5ml di pasaran kerana didapati mengandungi alkohol.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi kementerian itu, Datuk Eisah A Rahman berkata kementerian telah mengarahkan syarikat tersebut memanggil balik semua produk berkenaan di pasaran dan fasiliti yang terbabit.

Kementerian itu dalam surat tawaran telah menetapkan spesifikasi bahawa produk itu tidak sepatutnya mengandungi alkohol, dan syarikat itu dalam membuat tawaran ubat tersebut kepada kementerian itu telah tidak menyatakan pada label dan sisip bungkusan produk mereka mengenai kandungan alkohol, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata kerana syarikat itu tidak menyatakan pada label dan sisip bungkusan produk mengenai wujudnya alkohol dalam ubat tersebut, maka pihak kementerian telah menerima tawaran syarikat tersebut untuk membekalkan produk itu.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati produk paracetamol itu mengandungi alkohol tetapi tidak dinyatakan pada label dan sisip bungkusan," katanya.


Bagaimanapun, Eisah berkata produk itu telah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), dan didapati mematuhi keperluan kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

"Orang awam tidak perlu bimbang kerana walaupun ia mengandungi alkohol dalam had yang dibenarkan, tiada isu keselamatan dilaporkan," katanya.

Beliau juga menyarankan pengguna supaya sentiasa menyemak maklumat label dan sisip bungkusan produk dan memilih produk yang sesuai yang diperlukan.

"Pengguna boleh menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM menerusi talian telefon 1800886772 atau emel npcc@moh.gov.my untuk keterangan mengenai ubat-ubatan," katanya.

Sementara itu, timbalan Pengerusi Syarikat Royce Pharma Sdn Bhd Datuk Chandra Sekar Suppiah berkata pihaknya akan menarik balik produk tersebut berikutan tindakan Kementerian Kesihatan menetapkan spesifikasi baharu mengenai alkohol.

"Sebelum ini produk itu memang telah mematuhi segala aspek keperluan kualiti, keselamatan dan keberkesanan mengikut piawaian ditetapkan, tetapi sekarang kementerian mahu produk itu dihasilkan tanpa kandungan ethanol
(alkohol) dan kami akan mengeluarkan produk baharu tanpa alkohol selepas ini," katanya kepada Bernama bagi menjelaskan tindakan kementerian itu.

Katanya orang awam tidak perlu bimbang kerana tiada isu keselamatan dilaporkan mengenai produk itu sejak ia dikilangkan dan dipasarkan bermula 1991, dan ia mengandungi ethanol dalam kadar yang dibenarkan.

"Produk yang ditarik balik itu dijamin selamat dan mematuhi piawaian Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, malah syarikat ini sentiasa komited dalam menghasilkan produk-produk farmaseutikal yang selamat," katanya.

Beliau berkata syarikat itu juga diiktiraf sebagai satu-satunya syarikat yang mematuhi syariah (MS1900:2008).

Beliau juga berkata merujuk kepada keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 bersetuju ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...