#PrayForMH370

#PrayForMH370

Sunday 18 October 2015

PAS Dah Tak Ikut Cakap DAP, Mahu Bertanding Di Semua Negeri


KOTA BHARU - Pas menolak cadangan pembahagian kerusi yang dicadangkan bekas rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, DAP, untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.


Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan bertanding di seluruh negara, malah akan menambah jumlah kerusi yang akan ditandinginya.

"Kita parti peringkat nasional dan kita bertanding di seluruh negara... sebelum ada DAP kita dah bertanding (pada pilihan raya umum). Kita bukan parti kenegerian dan parti perkauman," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Fastaqim (Himpunan Kebangkitan) di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam tadi.


Beliau mengulas mengenai cadangan DAP sebelum ini yang mengemukakan formula pengagihan kerusi dalam kalangan parti pembangkang bagi mengelak pertandingan tiga penjuru yang hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi DAP Lim Kit Siang dipetik sebagai berkata satu-satunya cara ialah Pas bertanding di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis manakala Parti Amanah Negara (Amanah) pula bertanding di negeri lain yang tertakluk atas persetujuan parti pembangkang lain.

Ditanya mengenai ancaman Amanah terhadap parti itu selepas kebanyakan ahli Pas beralih arah kepada parti serpihan itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menganggap perkara berkenaan hanya perkara kecil.

"Kepada kita, Amanah ini tidak ada apa-apa cabaran yang besar kepada Pas. Pas pernah menghadapi cabaran lebih besar daripada ini terutama pada tahun 1978 yang menyebabkan rakyat Kelantan buat demonstrasi sehingga menyebabkan kerajaan Kelantan jatuh.

"Namun demikian kita dapat melangsungkan perjuangan kita dengan cara yang baik dan kita dapat meningkatkan bukan sahaja anggota parti, bahkan meningkatkan pengurusan parti," katanya. - Bernama.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...