SHAH ALAM - Timbalan Presiden Umno yang digantung Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggesa Lembaga Displin Umno supaya memberikan penjelasan mengenai kedudukan sebenar laporan terhadap dirinya seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Terdahulu, Tengku Adnan mendedahkan satu laporan Lembaga Disiplin Umno mengenai kedudukan Muhyiddin dalam parti telah disiapkan dan diserahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk dibuat keputusan.
Muhyiddin berkata, dalam isu ini beliau berhak untuk mengetahui asas-asas tuduhan ke atas dirinya dan seterusnya membela diri sebelum sebarang tindakan diambil terhadapnya.
"Kenyataan Setiausaha Agung Umno menimbulkan kemusykilan. Saya tidak pernah dimaklumkan oleh Lembaga Disiplin mengenai apa-apa tuduhan pelanggaran disiplin parti terhadap saya ataupun asas-asas tuduhan itu dibuat.
"Saya juga tidak pernah diberikan surat tunjuk sebab atau dipanggil untuk membela diri oleh Lembaga Disiplin berkait dengan apa-apa dakwaan pelanggaran disiplin terhadap saya.
"Kenyataan Adnan bahawa laporan Lembaga Disiplin mengenai kedudukan saya telah siap dan hanya menunggu untuk dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang menggambarkan bahawa proses tuduhan pelanggaran disiplin parti terhadap saya telah dibuat tanpa mengikut tatacara dan prosedur yang betul, sekaligus bercanggah dengan peruntukan Fasal 20.1 Perlembagaan Umno," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Katanya, sepatutnya beliau diberikan surat tunjuk sebab yang memperincikan asas-asas tuduhan terhadapnya.
"Saya juga mesti diberikan suatu tempoh untuk menjawab segala tuduhan tersebut dan menyatakan sebab-sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap saya.
"Namun, berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung Umno, semua langkah ini telah tidak diambil oleh Lembaga Disiplin," katanya.
Ujarnya, beliau terlibat secara langsung dalam penubuhan Lembaga Disiplin Umno ketika mempengerusikan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno pada tahun 2000.
"Semangat penubuhan Lembaga Disiplin yang bebas adalah berasaskan prinsip untuk memastikan supaya semua ahli Umno yang dihadapkan ke Lembaga Disiplin mendapat layanan yang adil serta diberikan hak untuk membela diri selaras dengan prinsip keadilan asasi.
"Ironinya, jika apa yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung Umno adalah benar, dalam kes yang melibatkan diri saya sendiri sebagai orang nombor dua di dalam parti, semangat dan prinsip penubuhan Lembaga Disiplin telah tidak dipatuhi," katanya.
Dalam itu katanya, sepanjang beliau tidak berada di dalam kerajaan dan digantung daripada jawatan Timbalan Presiden, beliau telah memberikan pandangan dan nasihatnya mengenai isu yang sedang melanda kepimpinan Umno khususnya yang telah mencemar nama baik parti dan kerajaan.
"Tujuan saya adalah untuk menyedarkan kepimpinan Umno tentang bahaya besar yang sedang menanti Umno jika kemelut yang membabitkan Presiden parti tidak diselesaikan dan menggesa mereka supaya mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan parti dan memulihkan keyakinan ahli Umno dan rakyat seluruhnya kepada parti dan kerajaan.
"Adalah malang sekiranya tindakan saya untuk menyelamatkan Umno dianggap sebagai melanggar disiplin parti," katanya.
Sumber : Karangkraf
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..