#PrayForMH370

#PrayForMH370

Sunday 9 June 2013

Cerai Isteri Kerana Ajaran Sesat


Seorang bekas pengikut kumpulan al-Arqam mendedahkan pernah menerima arahan mengarut termasuk menceraikan empat isterinya sebagai bukti kesetiaan kepada balu Allahyarham Ashaari Muhammad, Hatijah Aam yang memimpin ajaran itu.

Hashim Jaafar, 57, menceraikan semua isterinya ketika menerima arahan itu pada awal 2010 selain mematuhi beberapa lagi arahan yang dianggap tidak masuk akal dan memesongkan akidah.

"Arahan diterima menerusi anak tirinya, Syed Fakhrur Razi yang meminta kira-kira 4,000 pengikutnya ketika itu menceraikan isteri masing-masing. Alasannya ialah sebagai satu cara mendidik isteri dan bukti kesetiaan terhadap ajaran yang dibawa Ashaari. Penceraian itu tidak didaftarkan namun sah mengikut syarak. Pengikut dibenarkan rujuk semula sebelum habis tempoh edah masing-masing," katanya.

Hashim yang mengaku menjadi pengikut ajaran al-Arqam sejak 1977 berkata, pengikut wanita juga pernah menerima arahan pelik, antaranya hanya perlu taat kepada suami dalam kamar tidur sahaja dan tidak perlu mentaati suami di luar kamar.

Katanya, arahan itu dibuat supaya pengikut wanita lebih taat kepada Hatijah berbanding suami sendiri sehingga ada sebahagian besar isteri pengikut sanggup meninggalkan suami untuk mengikut wanita itu ketika berpindah ke Mekah.

Hatijah Aam @ Ummu Jah

"Selain itu, Hatijah pernah mengarahkan satu perayaan besar-besaran diadakan konon suaminya, Ashaari (yang telah meninggal pada 13 Mei 2010) akan tiba di Malaysia pada 13 Mei 2011 sedangkan hakikatnya perayaan itu diadakan bagi menyambut ulang tahun kelahirannya (Hatijah) pada 1 Mei," katanya.

Beliau berkata, isteri pertamanya telah meninggalkannya untuk mengikuti Hatijah ke Mekah pada 2010 kerana terpengaruh dengan ajaran itu.

Hatijah juga pernah mengarahkan pengikutnya supaya menunaikan haji di kediamannya di Mekah kerana dakwanya Rasulullah tiada di Arafah sebaliknya ada bersamanya.

"Pengikut yang menunaikan haji di kediamannya perlu membayar sejumlah wang kepadanya sebagai kos menunaikan Rukun Islam ke-5 itu di rumahnya. Tindakan dan arahannya tidak masuk akal sehingga menyebabkan segelintir pengikutnya keluar daripada kumpulan itu dan mula membawa haluan masing-masing walaupun masih ramai pengikutnya yang patuh kerana percaya arahan itu datang dari Ashaari," katanya. -Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...