Anak sulung pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad, mendakwa putar belit ibu tirinya, Hatijah Aam sudah menyesatkan ribuan pengikut pergerakan itu.
Syed Fakrur Razi, 51, mendakwa antara pembohongan wanita terbabit bagi melindungi kelemahan kepimpinannya ialah berhubung insiden penahanan puluhan pengikut Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).
"Hatijah Aam atau Ummu Jah mendakwa mendapat bantuan ghaib daripada Rasulullah, Imam Mahdi dan Abuya bagi membebaskan mereka yang ditahan itu daripada hukuman pancung, sedangkan mereka sebenarnya diarah keluar dari Arab Saudi selepas melalui proses undang-undang di Mekah."
"Dia (Ummu Jah) juga mendakwa menerima arahan Abuya untuk memecat saya dan seorang lagi daripada Lembaga Pengarah GISB bagi menyelamatkan ummah, sedangkan itu putar belit kerana bimbang kedudukannya terjejas."
"Malah dia mengarahkan pengikut berkahwin dan bercerai sesuka hatinya sebagai cara mendidik, sedangkan ia bercanggah dengan ajaran Islam kerana cerai itu perkara halal yang dibenci Allah," katanya sambil turut mendakwa Ummu Jah juga cuba menghidupkan semula ajaran Al-Arqam dengan versi baru mengikut kehendaknya.
Fakhrur Razi berkata, amalan memberi rasuah dalam urusan mendapatkan taraf pemastautin dan proses visa di Mekah turut 'dihalalkan' kerana Hatijah mengamalkan pendirian 'matlamat menghalalkan cara'.
"Tindakan menentukan perkahwinan dan perceraian dalam jemaah, menggunakan rumah amal bagi mendapatkan sumbangan, mempengaruhi golongan berada untuk menaja kegiatannya, adalah antara beberapa lagi caranya memanipulasi agama bagi membolehkan dia terus berkuasa."
"Dia sudah melanggar peraturan dan undang-undang negara dengan usaha menghidupkan ajaran itu dalam versi baru mengikut nafsunya," katanya ketika dihubungi wartawan.
Beliau mengakui keluar dari pergerakan itu selepas menyedari ajaran Hatijah bercanggah dengan ajaran Islam sebenar, malah sudah ramai pengikut lain yang membawa haluan sendiri selepas menyedari ajaran wanita terbabit memesongkan akidah.
Katanya, Hatijah juga dilihat ghairah mewujudkan perlembagaan 'kerajaannya' melalui pilihan raya sendiri atau dikenali parlimen roh.
"Kita berharap melalui pendedahan ini, ramai (pengikut) sedar dan kembali ke jalan sebenar. Saya akan bantu semampu mungkin dan berharap pihak berwajib juga bersama-sama untuk membantu mereka ke jalan betul," katanya sambil mendakwa, Hatijah kini turut giat merancang program ekspo bagi mempromosi kegiatannya. -Berita Harian
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..