#PrayForMH370

#PrayForMH370

Thursday 15 August 2013

Perak Sudah Wartakan Anti Syiah


Kerajaan Perak sudah mewartakan fatwa melarang sebarang bentuk penyebaran atau pengembangan fahaman Syiah di negeri itu kerana bertentangan dengan ajaran yang dibawa Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, fatwa tersebut yang diwartakan beberapa bulan lalu bertujuan menyekat ajaran Syiah yang dilihat semakin mengancam pemikiran dan perpaduan umat Islam di negara ini.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diarah supaya memantau secara dekat sebarang pergerakan atau tindakan individu serta kumpulan yang menyebarkan fahaman berkenaan.

''Ajaran Syiah berbahaya kerana memecah-belah umat Islam. Semua maklum kita di Malaysia berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bagi (pengikut) Syiah, golongan Sunni ini kafir, halal darahnya.


''Kita tidak boleh biar sampai ajaran ini tersebar luas baru hendak bertindak. Dalam soal (fatwa) ini, kita tidak kata Syiah itu kafir, tetapi ajaran dan fahamannya itu tidak betul dan kita boleh sekat dan ambil tindakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman supaya setiap negeri mewartakan fatwa anti-Syiah bagi mengelak persengketaan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat Islam.

Abdul Rahman berkata, ajaran Syiah mesti dibendung kerana fahaman terbabit bagaikan duri dalam daging dan boleh memecah-belahkan umat Islam seperti di Iran dan Syria apabila wujud dua fahaman iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah.

Harussani berkata, pihaknya sememangnya memandang serius perkembangan ajaran Syiah di negara ini sehingga mengambil ketetapan untuk mengharamkan segala bentuk ajaran fahaman berkenaan.

Beliau walaubagaimanapun menegaskan, usaha mengekang ajaran Syiah tidak seharusnya diserahkan kepada pihak berkuasa agama semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama daripada seluruh umat Islam.

''Setiap umat Islam yang melafazkan dua kalimah syahadah wajib berjihad ke jalan Allah dan mempertahankan agama dengan sepenuh jiwa raga. Kita tidak haramkan ajaran ini jika ia tidak bahaya, sama-sama berikan maklumat supaya tindakan dapat dilakukan," ujarnya.


Harussani menarik perhatian mengenai aduan orang ramai sehingga membolehkan serbuan dilakukan JAIPk ke atas dua premis di Taiping, dekat sini pada 6 Ogos lalu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah.

Dalam serbuan itu, dua individu termasuk seorang wanita ditahan berikutan penemuan bahan-bahan dan dokumen berkaitan ajaran tersebut termasuk poster, buku dan cakera padat (CD).

Kedua-dua individu tersebut kemudiannya didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Perak pada hari yang sama. -Utusan

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...