KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentang Barisan Nasional (BN) secara terbuka sebagai ahli politik pembangkang dan bukannya berselindung di sebalik gerakan bukan politik atau bukan kepartian.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata mengambil kedudukan rasmi dalam kepimpinan pembangkang adalah suatu tindakan betul dari segi moral untuk bekas perdana menteri itu lakukan kerana beliau sudah pun memainkan peranan itu secara de facto.
Dalam catatan di dalam blognya, sskeruak.blogspot.my, beliau berkata sejak bulan lepas BN telah mencapai kemenangan besar di dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak dan dua Pilihan Raya Kecil Kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Ini kata beliau tercapai walaupun dalam pertengahan penggal pemerintahan kerajaan dan kempen memburuk-burukkan perdana menteri di peringkat global.
"Adalah jelas pihak pembangkang kini berada dalam kedudukan kucar-kacir dan tidak mampu menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat Malaysia dengan menawarkan kerajaan alternatif yang boleh berfungsi. Pembangkang nampaknya memerlukan bantuan," katanya.
"Berdasarkan kesukaran dihadapi pembangkang, Dr Mahathir sepatutnya mengepalai pembangkang dalam pilihan raya akan datang. Tambahan pula, pembangkang perlu menunjukkan keikhlasan mereka untuk menngalu-alukan Dr Mahathir ke dalam pembangkang dengan mengeluarkan jemputan terbuka untuk beliau menjadi anggota dan pemimpin mereka," katanya.
Salleh berkata adalah jelas Dr Mahathir tidak mahu bersara daripada politik dan masih mahu terlibat di dalam kancah politik.
"Dr Mahathir patut sanggup melibatkan dirinya secara sepenuh masa dengan secara rasmi menjadi anggota salah satu perti pembangkang dan menjadi pemimpin parti itu.
Ini akan menunjukkan keikhlasan Dr Mahathir di dalam perjuangan politiknya," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..