Putrajaya, 20 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, operasi membawa pulang kesemua 3,300 pelajar Malaysia di Mesir bermula malam ini, selepas kerajaan mendapati pergolakan di negara itu semakin tidak menentu.
Perdana Menteri berkata urusan penempahan tiket akan dilakukan bermula malam ini dan penerbangan akan melalui Amman (Jordan) dan Istanbul (Turki) serta beberapa tempat lain.
"Saya sudah mendapat laporan daripada Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab yang sedang berada di Mesir bahawa keadaan di sana menjurus pada keadaan yang tidak menentu dan mungkin lebih buruk daripada keadaan pada masa ini.
"Oleh itu pasukan kita memberi pandangan dan nasihat supaya kita memulakan operasi untuk membawa balik pelajar kita yang ingin kembali secara sukarela dan saya telah bersetuju dengan pandangan itu," katanya kepada pemberita.
Najib berkata kerajaan tidak akan menggunakan pesawat tentera kerana pesawat Charlie misalnya akan membabitkan masalah logistik dan perbelanjaan lebih tinggi di samping memerlukan kebenaran khas daripada negara tertentu kerana ia perlu membuat dua atau tiga persinggahan.
Najib berkata keselamatan pelajar menjadi keutamaan kerajaan ketika ini dan urusan membawa mereka pulang tidak boleh dilengahkan kerana kemungkinan keadaan menjadi lebih serius, lebih genting dan mungkin lebih berbahaya.
Menjawab satu soalan, beliau berkata pada masa ini operasi membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir hanya membabitkan kalangan pelajar, manakala bagi yang lainnya seperti ahli perniagaan, mereka boleh menggunakan perbelanjaan sendiri untuk pulang.
Katanya para pelajar telah dimaklumkan mengenai usaha kerajaan untuk membawa mereka pulang, namun perincian mengenai tempoh masa untuk mengeluarkan mereka dari Mesir sedang diuruskan.
"...tertakluk kepada banyak mana penerbangan atau tempat di dalam penerbangan yang boleh diperoleh dalam masa sehari dua ini," kata Najib.
Katanya beliau juga sudah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan mengenai kaedah peperiksaan yang perlu diduduki oleh para pelajar yang kembali ke tanah air.
Semasa dirujuk sekiranya kerajaan masih menjadikan Mesir sebagai destinasi melanjutkan pengajian tinggi pada masa akan datang, Najib berkata perkara itu sedang diberi perhatian.
"Universiti Al-Azhar contohnya adalah sebuah universiti terkemuka, tersohor dan namanya terbilang. Jadi kalau kita nak cari satu tempat mereka boleh teruskan pengajian mereka sebagai alternatif, kita kena kaji sama ada kita boleh bekerjasama dengan Universiti Al-Azhar atau alternatif yang lain.
"Tetapi dari segi pengajian Islam, nama universiti ini memang terkenal dan terbilang," katanya.
Merujuk kepada permintaan PAS supaya diadakan persidangan khas Parlimen bagi membincangkan krisis di Mesir, Najib berkata perkara itu tidak perlu kerana apa yang lebih penting ketika ini ialah urusan membawa pulang pelajar. -Bernama
Tok Kenari: Seeloknya pelajar-pelajar Malaysia di Mesir mengambil peluang ini untuk pulang ke tanahair demi keselamatan diri dan keluarga. Tapi pastikan balik dengan perasaan sukarela, dan bukannya nanti menimbulkan isu yang akan dipolitikkan oleh mana-mana parti politik.
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..