Alor Setar - Kerajaan negeri menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak untuk menangani bekalan air di Kedah, selain merangka lima lagi pelan strategik jangka pendek dan panjang susulan berlakunya masalah bekalan air musim perayaan baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, antara pendekatan berkesan ialah membina lebih banyak telaga tiub di kawasan terjejas dan kritikal dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Kedah dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, penggunaan telaga tiub dapat membantu bekalan air di kawasan yang sumber airnya terhad.
"Buat masa ini, terdapat lapan buah kampung di daerah Pokok Sena, Padang Terap dan Merbok yang menggunakan kaedah ini dan ia berkesan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara kerajaan negeri, pembangkang, Syarikat Air Darul Aman (Sada) serta agensi di Wisma Darul Aman, semalam.
Beliau berkata, sebuah telaga tiub dapat menampung keperluan seribu pengguna dan kosnya hanya sekitar RM100,00-RM150,000.
Katanya lagi, jumlah telaga tiub yang akan dibina akan ditentukan berdasarkan keperluan kawasan, wakil rakyat kawasan akan melakukan bancian untuk kawasan terpilih.
Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Sada berkata, tong statik berkapasiti 100 gelen juga akan dibekalkan kepada pengguna yang kurang berkemampuan.
"Langkah lain termasuk mempertingkatkan sistem penghantaran air bersih dan sistem aduan Sada serta penambahbaikan penggunaan air masyarakat (air bukit).
"Ini perancangan jangka pendek dipersetujui selepas mesyuarat tiga jam," katanya.
Menurutnya, masalah ini bukan baharu sebaliknya berlarutan sejak fenomena El Nino, Februari lalu.
"Masalah yang berlarutan itu sehingga sambutan Aidilfitri di mana anak perantauan Kedah pulang ke kampung halaman menyebabkan peningkatan penggunaan air antara sebab bekalan terjejas. Dengan adanya jawatankuasa bertindak kelak dapat melakukan persediaan awal agar masalah tidak berulang," katanya.
Ahmad Bashah berkata, jawatankuasa ini bukan sahaja akan mengkaji penggunaan air semasa musim perayaan, malah akan membuat persediaan untuk pastikan bekalan iar mencukupi bagi semua sektor antaranya perumahan, pembangunan, komersil dan pertanian.
"Jawatankuasa ini akan dipengerusikan bersama Exco Bekalan Air dan Sumber Air, Datuk Badrol Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Datuk Bakar Din, dianggotai pegawai daerah, wakil rakyat dan agensi terlibat," katanya.
Menurutnya lagi, Sada tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya apabila berlaku masalah terputus bekalan kerana agensi itu telah berusaha mengagihkan bekalan air ke kawasan terjejas berdasarkan kepada aduan diterima.
"Dianggarkan terdapat 2,000 panggilan pengguna pada malam Aidilfitri, dan pastinya ada panggilan yang tidak berjawab, kita akan cuba atasi pusat aduan Sada yang lebih efektif," katanya.
Ahmad Bashah berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah memperuntukkan RM37 juta untuk projek perbekalan air luar bandar di Kedah, meliputi beberapa daerah antaranya Kubang Pasu, Langkawi, Sik, Baling, Kulim, Yan, Padang Terap, Merbok dan Pendang. -SinarHarian
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..