#PrayForMH370

#PrayForMH370

Monday 21 April 2014

Malaysia Model, Peneraju Sistem Kewangan Islam


Kota Bharu: Malaysia kini menjadi model, peneraju dan pelopor utama dalam agenda memartabatkan sistem kewangan berasaskan syariah di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata malah negara mendapat pengiktirafan terbaharu daripada Bank Dunia yang bercadang membuka cawangan pejabatnya di Malaysia dengan meletakkan satu objektif utama menimba pengalaman dan pengajaran dari Malaysia dalam membangunkan sistem kewangan Islam. 

“Sehingga hari ini, Malaysia masih kekal sebagai peneraju global dalam pasaran sukuk antarabangsa dengan nilai penerbitan sukuk melebihi RM267.02 juta pada 2013 iaitu 68.8 peratus daripada jumlah penerbitan sukuk di peringkat antarabangsa. 

“Malah aset perbankan Islam juga menunjukkan pertumbuhan hebat sehingga mencapai 16.5 peratus dengan penguasaan pasaran 25.7 peratus daripada jumlah keseluruhan aset sistem perbankan pada 2013.

“Jumlah urus niaga berasaskan mata wang asing yang diurus niaga di Bank Islam Antarabangsa juga meningkat kepada RM18.1 bilion pada 2013 berbanding RM14.6 bilion pada 2012. Angka ini memberi indikasi penting bahawa urus niaga kewangan Islam berpandukan syariah kini semakin mendapat tempat dalam masyarakat, bukan saja negara bahkan peringkat antarabangsa,” katanya.

 Malaysia model, peneraju sistem kewangan Islam

Beliau berucap ketika merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Najib berkata, teras agenda pembangunan negara adalah berpandu kepada prinsip Maqasid al-Syariah atau Matlamat Syarak yang juga sebahagian tuntutan Islam.

Perdana Menteri berkata, pelaburan dan perancangan kewangan adalah dimensi penting dalam agenda transformasi dan pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, satu daripada tuntutan Islam terutama dalam merealisasi falsafah dan prinsip Maqasid al-Syariah selain pemerkasaan dan pemeliharaan agama, akal dan keturunan adalah aspek pemeliharaan dan pengurusan harta.

Najib berkata, memahami hakikat inilah kerajaan mempelopori inisiatif pemerkasaan muamalah Islam dengan membangunkan sistem perbankan dan kewangan berasaskan prinsip syariah dengan bebas daripada unsur yang diharamkan seperti riba, gharar (ketidakpastian) dan maisir (judi).

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...