#PrayForMH370

#PrayForMH370

Thursday 10 April 2014

Akhbar 1985 : Tragedi Di Baling Kejadian Jenayah


Kuala Lumpur, 20 Nov - Datuk Musa Hitam menegaskan peristiwa di Kampung Memali, Baling adalah satu kejadian jenayah dan kerajaan tidak melihatnya dari sudut politik.

Pemangku Perdana Menteri berkata, mereka yang sedang ditahan akan disiasat dan kemudian dituduh kerana perbuatan jenayah jika terdapat kes terhadap mereka.

"Kami tidak melihat kejadian ini dari segi politik," ujarnya bila ditanya sama ada mereka yang ditangkap akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mereka yang ditangkap akan didakwa di bawah beberapa seksyen dalam Kanun Keseksaan.

Antara tuduhan yang boleh dihadapkan mereka termasuk kerana kesalahan memiliki bahan letupan, merusuh dengan senjata, ugutan jenayah, menghalang polis menjalankan tugas dan memberi perlindungan kepada penjenayah.

Bercakap kepada para pengarang akhbar petang ini, beliau juga memberitahu bahawa setengah daripada mereka yang berkumpulan dan menyerang polis di rumah Ibrahim Libya sempat melarikan diri. Polis sedang memburu mereka, ujarnya.

Menurut Datuk Musa, 200 anggota dan pegawai polis terlibat dalam operasi menangkap Ibrahim Libya semalam.

Antara mereka termasuklah Pengarah Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Datuk Haji Yahya Yeop Ishak.

Menurut Datuk Musa, Datuk Yahya sendiri telah menghampiri rumah Ibrahim Libya tanpa senjata. Beliau hanya membawa sebatang tongkat. Tujuan beliau adalah untuk merayu supaya penjenayah-penjenayah itu menyerah diri secara aman.

Bagaimanapun, kata Datuk Musa, Datuk Yahya telah ditemui oleh wanita-wanita yang menyuruhnya pergi kerana mereka 'tidak berminat untuk berunding'.

Orang-orang lelaki langsung tidak kelihatan bila Datuk Yahya berada di depan rumah itu untuk merayu.

Datuk Musa menambah, polis tidak menyangka penjenayah-penjenayah itu mempunyai kekuatan senjata sehingga Molotov Cocktail dan senapang patah.

Serangan polis tidak memeranjatkan mereka, tapi serangan mereka memeranjatkan polis, katanya.

Beliau mengingatkan jika ada kumpulan-kumpulan lain yang bercadang hendak bertindak seperti penjenayah-penjenayah di Kampung Memali supaya berfikir habis-habis sebelum berbuat demikian kerana kerajaan tidak akan bertolak-ansur dalam menegakkan undang-undang.

Sumber: Utusan Malaysia, 21 Nov 1985

1 comment:

  1. Pd aku doktrin mengkafirkan sesama Islam perlu diperbetulkan, itu punca utamanya, pd aku. Semua org perlu muhasabah diri, kesalahan dan kesilapan, apatah lg yg berimpak kpd masyarakat dan umat perlu diislahkan. Bgmn nak berdepan dgn Allah swt dgn bebanan yg sedemikian besar.

    ReplyDelete

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...