#PrayForMH370

#PrayForMH370

Thursday 24 April 2014

Perlembagaan Lindungi Hak Undang-Undang Islam


Pelaksanaan undang-undang Islam, terutama undang-undang yang membabitkan keseluruhan lapisan masyarakat, Islam atau pun tidak, sentiasa menjadi perhatian masyarakat Malaysia. 

Ia menjadi bahan perbahasan baik dalam masyarakat Islam sendiri atau dalam kalangan bukan masyarakat Islam. Bahkan di peringkat dunia, isu pelaksanaan undang-undang Islam dalam ruang lingkup yang luas meliputi ruang awam juga menjadi tajuk penting di negara Islam seperti Pakistan dan negara yang mempunyai sejarah Islam yang kuat seperti Nigeria. 

Negara ini telah mengambil langkah untuk menjelaskan dan melaksana undang-undang Islam itu. Terbaharu, kita maklum mengenai kesediaan negara Brunei Darussalam untuk melaksanakan undang-undang hudud. 

Bagi negara kita, perkara berkaitan pelaksanaan undang-undang syariah secara sepenuhnya sudah lama diperkata dan banyak juga perbincangan ilmiah mengenai perkara ini dilangsungkan. 

Perlembagaan Persekutuan, seperti yang kita maklum, adalah undang-undang tertinggi negara. Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan menyatakan antara lain. 

“Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.” 


Prinsip Ketinggian Perlembagaan 

Oleh itu, perkara pertama yang biasanya dihujah sebagai kekangan pelaksanaan hukum atau undang-undang Islam ini ialah sifat atau prinsip ketinggian Perlembagaan. 

Apabila kita menerima pakai prinsip ketinggian Perlembagaan, kesannya ialah apa juga undang-undang yang mahu diperkenal dan dilaksana hendaklah selaras dengan peruntukan Perlembagaan itu. 

Dalam konteks undang-undang Islam, ter-utama undang-undang jenayah Islam, sekiranya ia dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan maka undang-undang berkenaan menjadi tidak sah dan tidak boleh dilaksana kerana bercanggah dengan Perlembagaan. 

Namun, sekiranya kita berjaya berhujah bahawa ia selaras dengan Perlembagaan, maka undang-undang yang bersumberkan hukum Islam itu boleh diperkenal dan dilaksana dalam sistem dan institusi yang kita sedang kita amalkan kini. 

Walaupun kita menerima prinsip ketinggian Perlembagaan, Perlembagaan tidak secara harfiah meletak halangan kepada penerimaan dan pemakaian prinsip agama. Selain itu, walaupun Perlembagaan tidak meletakkan secara khusus sumber undang-undang Islam, paling utama, Perlembagaan juga tidak mempunyai peruntukan khusus yang menolak sumber perundangan Islam itu. 

Perlembagaan juga tidak mempunyai per-untukan khusus yang menolak pemakaian prinsip Islam atau menghalang penggunaan prinsip undang-undang Islam yang diterima secara sejagat, seperti prinsip keadilan atau kesaksamaan. 

Tidak guna perkataan ‘sekular’ 

Malah, saya percaya, Perlembagaan amat mendokong prinsip keadilan dan kesaksamaan itu. Amat jelas, Perlembagaan tidak menggunakan perkataan ‘sekular’ dalam mana-mana peruntukannya. 

Dengan tiadanya peruntukan yang secara harfiah menolak secara total sumber undang-undang Islam, maka kita tidak boleh secara implikasi menyatakan bahawa Perlembagaan menolak atau menghalang penggunaan prinsip Islam yang boleh dimanfaatkan dan tidak secara langsung bercanggah dengan peruntukan atau semangat Perlembagaan. 

Dengan tidak adanya peruntukan Perlembagaan mengenai sifat sekular negara, maka sifat ketinggian Perlembagaan itu tidak semestinya menyebabkan penafian terhadap kedudukan agama dan seterusnya menyatakan bahawa sifat ketinggian Perlembagaan itu menjadi kekangan atau halangan dalam pelaksanaan undang-undang Islam. 

Ada yang menghujah bahawa negara ini adalah negara sekular. Kesan daripada hujah ini, maka undang-undang yang mempunyai sifat atau elemen agama tidak boleh dilaksana. Beberapa pihak memetik keputusan kes Che Omar Che Soh sebagai hujah bahawa negara ini adalah negara sekular. 

Ada juga yang memetik kenyataan Tunku Abdul Rahman dan Hakim Abdul Hamid (Ahli Suruhanjaya Reid). Sebenarnya saya ragu-ragu dengan ketepatan semua hujah yang menyatakan sifat sekular negara. Sebahagian keraguan ini telah saya huraikan dalam tulisan saya di ruangan ini sebelum ini. Sebagai rumusan, saya menyatakan negara ini bukan sebuah negara sekular. 

Selain itu, sifat sekular negara juga boleh dinafikan dengan adanya perkara 3 dan beberapa peruntukan lain dalam Perlembagaan yang meletakkan agama Islam di tempat sangat selesa seperti lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong seperti yang disebut dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan. 

Oleh itu, pada pengamatan saya, kedudukan kerangka perundangan negara, terutama Perlembagaan, tidak menjadi halangan untuk pelaksanaan undang-undang jenayah Islam walaupun beberapa perkara teknikal perlu diberi perhatian.

Nukilan Shamrahayu A. Aziz, Pensyarah Undang-Undang UIA.
Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...