#PrayForMH370

#PrayForMH370

Tuesday 5 August 2014

Salah Guna Kuasa? Khalid Gagap Ditekan PKR! #KajangMove #TolakMBboneka


Kuala Lumpur: PKR terus memberi tekanan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya meletak jawatan Menteri Besar apabila semalam mengambil tindakan mendedahkan apa yang didakwa mereka salah guna kuasa dilakukan oleh Khalid sepanjang mentadbir negeri itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata PKR akan mengemukakan nota penjelasan lebih 40 muka surat mengenai salah guna kuasa yang dilakukan Khalid itu kepada kepemimpinan tertinggi PKR, PAS dan DAP. Bagaimanapun nota itu tidak diedarkan kepada wartawan. 

Bercakap pada sidang media, di ibu pejabat PKR di sini, semalam, Saifuddin berkata, isu berkaitan integriti Khalid sebagai Menteri Besar sudah banyak kali dibangkitkan pakatan pembangkang sebelum ini dan pihaknya juga membuat perancangan senario terburuk sekiranya Khalid masih enggan berundur secara baik.

Antara pendedahan yang dikatakan terkandung dalam nota berkenaan termasuk dakwaan hutang Khalid sebanyak RM66.67 juta (AS$18 juta) dengan Bank Islam untuk membeli saham syarikat dan penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor oleh Khalid kepada EcoWorld dengan harga lebih murah daripada nilai pasaran untuk projek pembinaan rumah pangsa di Sungai Sering, Ukay Perdana. 

Isu lain termasuk tindakan Khalid menandatangani Perjanjian Dasar Induk berhubung penstrukturan semula industri bekalan air dan penyelesaian jangka panjang isu air di Selangor tanpa merujuk jawatankuasa air pimpinan pakatan.
Ketika ditanya sama ada Khalid akan dipecat daripada parti, beliau berkata:

“Kita sudah buat ‘drawing board’ tapi kita punya tidak bocor macam WhatsApp (Dr Muhd Zuhdi Marzuki). Kita lihat semua kemungkinan dan buat perancangan senario, kalau dia setuju macam mana, kalau tidak setuju apa perancangan kita, itu semua kita ada,” katanya.

Saifuddin berkata, tindakan mendedahkan salah guna kuasa Khalid juga dilakukan bagi menunjukkan keputusan rasional PKR untuk menggantikan Khalid dengan Presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Tindakan itu terpaksa dilakukan berikutan keengganan Khalid menyerahkan jawatan secara baik selain khuatir kemelut berlarutan akan menghakis sokongan rakyat terhadap pakatan pembangkang.

“Sejak seminggu kebelakangan ini, saya sudah bertemu kepimpinan tertinggi PAS termasuk Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS), Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS) dan Datuk Husam Musa (Naib Presiden PAS) untuk memberi penerangan dan pandangan parti yang membawa keputusan meminta Khalid berundur dan menamakan Azizah.


“Ada keperluan untuk kami berikan penerangan dan sebab tindakan PKR itu kerana selain keraguan kredibiliti dan akauntabiliti, banyak isu lain dibangkitkan yang perlu Khalid jelaskan,” katanya.

Ditanya maklum balas kepimpinan PAS berhubung penerangan itu, Saifuddin berkata mereka mendengar dan memahami serta meminta beliau mengemukakan penjelasan bertulis secara terperinci untuk dianalisis.

“Saya harap pertemuan itu akan membantu dan nota ini dapat memberi penjelasan mengapa PKR mengambil ketetapan sedemikian untuk Khalid berundur dan digantikan dengan Wan Azizah.

“Saya juga tidak boleh menjangkakan apa yang akan berlaku (selepas ini), tanggungjawab saya untuk sampaikan nota ini dalam bentuk rasmi, bukan mudah untuk parti mendedahkan perkara dalaman tapi kita harap ia dapat membantu,” katanya.

Ditanya tiada tindakan lanjut diambil parti terhadap Khalid sebelum ini, beliau berkata parti mempunyai mekanisme tersendiri dengan menggunakan kaedah dalaman meminta penjelasan terlebih dulu.

“Penjelasan diberikan Khalid tidak memuaskan, sebab itu kita minta dia turun. Majlis Presiden PKR yang bermesyuarat malam tadi (kelmarin) juga kekal dengan keputusan menamakan Wan Azizah, tiada nama lain, kita juga tegaskan untuk kekalkan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pakatan pembangkang sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata parti akan mengadakan kongres tahunan ke-10 di Stadium Melawati, Shah Alam pada 22 hingga 24 Ogos ini, membabitkan seramai 3,740 perwakilan dari 220 cabang PKR di seluruh negara.

Sehingga kini ibu pejabat PKR menerima 1,100 permohonan termasuk sebagai perwakilan dan pemerhati dari beberapa cabang.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...