#PrayForMH370

#PrayForMH370

Thursday 22 December 2016

Dilarang Ambil Makanan Yang Memudaratkan Kesihatan


Alor Setar - Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam memilih sebarang makanan dan minuman yang dijual di pasaran.

Timbalan Mufti Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin berkata, sekiranya sesuatu bahan makanan itu mengandungi bahan yang boleh memudaratkan terhadap tubuh badan, akal dan jiwa, maka dilarang memakannya.

"Asas dalam pemakanan ialah 'halalan thoyyiban'. Umat Islam wajib mencari makanan yang halal lagi suci dan bersih. Setiap makanan yang mengandungi bahan yang terlarang atau tidak suci yakni yang diharamkan adalah berdosa. Maka lanjutan dari itu ia memberi kesan kepada ibadah serta hati nurani kita," katanya.

Menurutnya, Allah berfirman yang bermaksud, 'Wahai manusia, makanlah apa yang disediakan atas muka bumi yang halal lagi thoyyib (bersih) dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang nyata'.

"Maka bahan makanan yang wajib dicari ialah bahan-bahan yang halal lagi suci bersih mengikut piawai syariat Islam. Sekiranya sesuatu bahan makanan itu mengandungi bahan yang memudaratkan terhadap tubuh badan, akal dan jiwa, maka dilarang memakannya," katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu biskut naga atau 'biskut berasap' yang menyebabkan kecederaan pada anggota badan, beliau menyarankan supaya pihak berwajib meneliti isi kandungan bahan yang terdapat dalam biskut berkenaan.

"Dinasihatkan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dalam memilih makanan dan minuman. Wajar dielakkan sehingga makanan tersebut benar-benar disahkan oleh pihak bertanggungjawab dan mendapat pengesahan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis Agama Islam Negeri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...