KUALA LUMPUR: Melulu dan tidak berasas. Itulah maklum balas polis dan Jabatan Imigresen berhubung dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya puluhan ribu warga asing dibawa masuk ke negara ini menggunakan laluan darat, udara dan laut khusus untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, memberi amaran supaya Penasihat PKR itu tidak membuat tuduhan melulu.
“Kita menempatkan anggota di semua lokasi pintu masuk ke negara ini dan tiada sebarang pergerakan seperti didakwa,” katanya ketika dihubungi BH semalam.
Beliau berkata, tiada laporan mengenai pergerakan itu yang diterima daripada unit risikan polis terutama berkaitan PRU pada Ahad ini.
Semalam, Anwar mendakwa wujud pertambahan ketara warga asing terutama Myanmar, Kemboja, Thailand dan Pakistan membabitkan kira-kira 4,500 orang setiap hari termasuk menggunakan pesawat komersial dan tentera.
Ismail berkata, setiap individu yang melintasi pintu masuk perlu mempamerkan dokumen perjalanan dan Jabatan Imigresen tentu dapat mengesan sama ada ia membabitkan pergerakan biasa atau sebaliknya.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pula menyifatkan kenyataan Anwar sebagai mengarut yang bertujuan memutar-belitkan fakta untuk kempen politik.
“Rakyat kita sendiri pun tidak dibenarkan menaiki mana-mana pesawat tentera tanpa sebarang sebab, inikan pula ingin membawa warga asing dari satu lokasi ke satu lokasi lain sewenang-wenangnya.
“Cuba berikan bukti sebelum memberikan kenyataan, tunjukkan sebarang gambar atau video mengenai tindakan pasukan tentera membawa warga asing menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Hercules C-130 dan menempatkan mereka di beberapa kem askar wataniah,” katanya.
Katanya, beliau benar-benar berharap supaya Anwar berhenti mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal hingga menjejaskan imej pasukan tentera kerana boleh menimbulkan salah faham.
“Janganlah sesekali cuba mengheret ATM dalam kempen politik kerana perjuangan kami adalah demi agama, bangsa dan negara tercinta untuk memastikan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan negara,” katanya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad, pula berkata kemasukan rakyat asing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Tambang Murah (LCCT) adalah perkara biasa, manakala laluan melalui laut seperti Pelabuhan Klang memang ada tetapi membabitkan rakyat Indonesia yang melancong.
“Dakwaan penggunaan depoh Imigresen untuk menempatkan warga asing terbabit tidak benar sama sekali,” katanya dan meminta Anwar mengemukakan bukti sahih.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jainisah Mohd Noor, menjelaskan Mykad hanya dikeluarkan berasaskan empat syarat, iaitu memiliki sijil kelahiran bertaraf warganegara Malaysia, borang W khusus untuk warga Malaysia yang lahir di luar negara, sijil pengesahan taraf dan sijil warganegara yang diberi kepada warga asing yang dianugerahkan status warganegara Malaysia.
Katanya, hanya warga asing lelaki atau wanita berusia lebih 21 tahun yang memiliki status pemastautin tetap untuk tempoh minimum 12 tahun boleh memohon mendapatkan sijil warganegara.
JPN hanya memproses pengeluaran Mykad jika permohonan yang dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri diluluskan. - Berita Harian
p/s: Nampaknya pakatan pembangkang ni paranoid tanpa sebab, semuanya nak cari pasal semata-mata nak memegang kuasa. Dah terlalu terdesak sangat!
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..