#PrayForMH370

#PrayForMH370

Tuesday 14 May 2013

Jangan Cabar Undang-Undang!


YAN: "Jangan cabar keutuhan undang-undang!" Amaran keras Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar kepada kumpulan yang menganjurkan perhimpunan semata-mata untuk mencetus provokasi dan suasana huru-hara.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit terutama penganjur yang cenderung menjadikan sistem pentadbiran negara sebagai sasaran. 

Ismail berkata, perhimpunan sepatutnya diadakan dengan aman selari Akta Perhimpunan Aman 2012 yang diwujudkan semata-mata memenuhi kehendak rakyat yang mahukan keamanan.

"Saya nak ingatkan jangan sekali-kali cabar keutuhan undang-undang dengan tindakan provokasi atau tohmahan tidak berasas, semata-mata nak lepaskan marah... Ini semua tidak betul.

"Saya harap orang ramai dapat bertindak rasional dan tunjukkan bahawa kita rakyat yang matang, bertanggungjawab dan ada nilai moral.

"Kita (PDRM) akan terus pantau keadaan sekeliling dan kita tahu apa nak dibuat kerana kita ada strategi. Tunggu saja, kalau ada pihak atau individu yang cuba cetus hura-hara, kita akan ambil tindakan tegas," katanya ketika ditemui di sini.


Terdahulu, beliau merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan yang dibina dengan kos RM60 juta. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu.

Difahamkan, IPD Yan antara sembilan IPD baru yang akan dibina di Kedah dengan dua daripadanya, iaitu IPD Kota Setar dan IPD Pendang kini dalam pembinaan untuk memastikan keselesaan tugas anggota dan pegawai PDRM.

Sementara itu, Ismail ketika ditanya mengenai perkembangan kes bunuh Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Shaharuddin Ibrahim, yang maut ditembak di Putrajaya pada 26 April lalu, yakin ia dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Katanya, beliau sudah dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, bahawa hasil siasatan kes berkenaan menunjukkan kemajuan positif.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...