#PrayForMH370

#PrayForMH370

Friday 20 March 2015

Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Diluluskan


KOTA BHARU - Rang Undang Undang Enakmen pindaan Kanun Syariah II diluluskan setelah mendapat sokongan sebulat suara dari 44 Adun.

31 Adun Pas, 12 BN dan seorang PKR menyatakan sokongan setelah bacaan Rang Undang-Undang pindaan kali ketiga dibuat jam 12 tengah hari.

Rang undang undang ini kini dinamakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) pindaan 2015.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, beberapa pindaan dibuat, iaitu ia hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja berbanding sebelum ini yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas mereka.

Pindaan turut dibuat pada Seksyen 15(2) kanun tersebut dengan penambahan peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri.


Pindaan lain adalah tentang kelayakan hakim, pemberhentian hakim, gaji dan elaun hakim serta struktur mahkamah daripada Mahkamah Agung kepada Mahkamah Persekutuan dan penukaran kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang telah wujud daripada Suruhanjaya Kehakiman Negeri yang belum wujud.

Pindaan turut dilakukan pada struktur ayat untuk disesuaikan dengan undang-undang sedia ada.

Kanun ini juga menyediakan peruntukan untuk kesalahan hudud dan hukuman bagi tujuh kesalahan iaitu sariqah (mencuri), hirabah (merompak), zina, liwat, qazaf, syurb (minum arak) dan irtidad (murtad).

Antara hukuman yang diperuntukkan di bawah kanun itu adalah bagi kesalahan mencuri kali pertama, pesalah akan dipotong tangan kanan, kesalahan kali kedua dipotong tangan kiri dan kesalahan kali ketiga pula dipenjara tidak melebihi 15 tahun.

Bagi kesalahan merompak, pesalah boleh dihukum bunuh atau disalib, dihukum bunuh jika mangsa dibunuh tetapi hartanya tidak diambil dan dipotong tangan kanan dan kaki kiri jika harta sahaja diambil.

Kesalahan qazaf pula, pesalah boleh dihukum sebat sebanyak 80 kali dan minum arak pula, sebatan tidak lebih 80 kali dan tidak kurang 40 kali. 

Selain itu, bagi kesalahan zina, pasangan yang berkahwin boleh direjam sehingga mati manakala belum berkahwin boleh disebat 100 kali dan penjara setahun.

Bagi kesalahan murtad pula, mesti bertaubat dalam tempoh tiga hari dan jika enggan, boleh dihukum bunuh.

Rang Undang-Undang itu yang sepatutnya dibentangkan pada persidangan dewan Disember tahun lepas telah ditangguhkan berikutan banjir luar biasa yang melanda Kelantan Speaker Dun Datuk Abdullah Ya'kub kemudiannya menangguhkan sidang Dun kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...