#PrayForMH370

#PrayForMH370

Wednesday, 23 January 2013

Isu Kalimah Allah : PAS vs Pakatan


PETALING JAYA - Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, perikatan pembangkang itu tetap dengan pendirian yang diputuskan oleh Majlis Pimpinan Presiden 8 Januari lalu bersabit isu penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu.

Meskipun begitu kata Anwar, pihaknya tidak menolak untuk mengadakan sebarang perbincangan susulan berikutan keputusan Majlis Syura Pas.

"Boleh, kenapa tak boleh bincang. Tapi setakat ini tidak timbul. Setakat ini, ini pendirian Pakatan Rakyat berdasarkan kenyataan yang dibentangkan oleh Hadi Awang dalam mesyuarat Pakatan Rakyat yang lalu (8 Januari)," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Awal minggu lalu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa semua pihak termasuk pimpinan PR menerima keputusan Majlis Syura bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.

Nik Aziz berkata, perkara itu tidak perlu ditimbulkan semula setelah Majlis Syura menetapkan larangan penggunaan kalimah yang eksklusif bagi orang Islam itu diterjemahkan mana-mana kitab agama bukan Islam kerana salah dari segi maknanya.

Majlis Syura membuat keputusannya pada mesyuarat 13 Januari.

Menurut Anwar, pihaknya bagaimanapun tetap dengan kenyataan yang dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini di mana kalimah ALLAH boleh digunakan selagi ia tidak disalahgunakan.

"Soal isu ALLAH ini saya baca dengan teliti keputusan Majlis Syura Pas. Kita juga baca dan bincang kenyataan yang dibentang oleh Hadi Awang di awal dalam Majlis Pakatan Rakyat.

"Kita dalam Pakatan Rakyat apabila membaca kenyataan Hadi Awang, pertama dengan tidak melarang penggunaan tetapi menegur penyalahgunaannya, menyatakan keprihatinan, kalau ia boleh mengelirukan. Kita tidak ada masalah dalam hal demikian," ujarnya.


Meskipun begitu, Anwar tidak menolak hujah berkenaan kebimbangan umat Islam jika kalimah berkenaan disalahgunakan oleh pihak yang mahu menyebar dakyah songsang untuk mengelirukan masyarakat Islam.

"Saya juga dapat merasakan sebahagian daripada kebimbangan itu sahih, maknanya ada benar.

"Dalam kes-kes seperti itu kita harus tegas. Kalau ada antaranya pengedaran Bible ini kepada budak-budak sekolah, harus ada tindakan. Yang saya tidak setuju, ia digunakan untuk politik seperti mengatakan liberal, plural dalam soal ALLAH ini," katanya lagi. - SinarHarian

p/s: Setelah ditekan oleh DAP dan PKR, agaknya apakah tindakan dan pendirian PAS? Mungkin kepimpinan atasan PAS perlu mempertimbangkan seruan akar umbinya supaya PAS keluar dari Pakatan Pembangkang, ketepikan dendam politik lama demi survival Melayu & Islam di Malaysia.. Allahuakbar!

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...