PAS kembali akur dan kembali bertaut kepada realiti - undi Melayu adalah tiket utama dalam menjamin kelangsungan politiknya ke arah memenuhi cita-cita menakluki Putrajaya.
Bagaimanapun, ibarat perlawanan bola sepak yang memasuki waktu kecederaan, PAS menyumbat gol sendiri apabila mencetuskan polemik baru dengan memanjatkan doa menghancurkan UMNO dan BN, selain memurtadkan UMNO kerana didakwa menolak Islam.
Tahap kematangan pengundi Melayu menjelang PRU-13 tidak boleh disamakan dengan 1981 apabila timbulnya isu kafir-mengkafir oleh Presiden PAS ketika ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Banggol Peradong, Terengganu.
Hasilnya, timbullah Amanat Haji Hadi yang antara lain menyumbang kepada perpecahan dalam masyarakat sesama Islam dan mengambil masa bertahun-tahun bagi memulihkan keretakan itu, walaupun tidak sepenuhnya.
Dalam pada PAS lantang mendakwa perjuangannya semakin diterima golongan bukan Islam menerusi pendekatan ‘PAS Untuk Semua’, parti yang berpaksikan kepimpinan ulama itu dilihat rakus mengelirukan umat Islam menerusi pelbagai tindak-tanduknya.
Generasi lama penyokong tegas PAS mungkin boleh menerima pendekatan ekstrem seperti menghapus dan memurtadkan lawan kerana ia sinonim dengan cara PAS dalam era 1960-an hingga 1980-an.
Tarik Penyertaan Golongan Profesional
Bagaimanapun, generasi lebih muda mungkin berpendapat sebaliknya. Bertahun-tahunnya masa diambil oleh PAS bagi mengubah wajahnya hingga berupaya menarik penyertaan golongan profesional, terutama ketika era parti itu diterajui Allahyarham Datuk Fadzil Noor sebagai Presiden.
Sedikit demi sedikit, PAS berjaya menawan sebahagian golongan sasar idaman lawan - muda dan berpendidikan yang tidak membawa imej ‘parti lebai’ seperti sebelumnya tetapi perkembangan dua tida hari ini mungkin boleh menjauhkan golongan sama daripada parti itu.
Capaian maklumat luar biasa ketika ini memungkinkan pengundi mengesahkan apa yang didengar atau dibaca. Bukan sesusah mana untuk mencari pautan rakaman video doa menghapuskan UMNO yang diaminkan ribuan hadirin di Stadium Sultan Mohamad IV, dan membuat kesimpulan sendiri terhadap apa yang dilontarkan.
Tahaluf siyasi yang dipersetujui bersama PKR dan DAP dalam mencapai cita-cita menakluk Putrajaya pada PRU-13 terus mengubah rentak PAS apabila beberapa isu yang lantang diperjuangkan seperti pelaksanaan hudud semakin sunyi daripada pendengaran.
Sekalipun hampir semua pucuk pimpinan PAS menegaskan parti itu kekal di landasan perjuangan dan dikukuhkan dengan kenyataan Majlis Syura Ulama yang bermesyuarat di Kota Bharu semasa Muktamar PAS ke-58 yang lalu bahawa PAS hari ini sama seperti PAS dulu, bukan semua ahli dapat diyakinkan dengan begitu mudah.
Bicara Soal Hak Melayu
Sejak menyertai pakatan pembangkang, PAS mulai membicarakan soal hak dan keistimewaan orang Melayu - agenda yang diperjuangkan UMNO secara konsisten sejak 66 tahun lalu.
Mampukah kepimpinan ulama diganding dengan agenda hak dan keistimewaan orang Melayu mengikut acuan PAS? Jika ini tidak dilihat sebagai mengorbankan prinsip demi memenuhi matlamat memenangi PRU-13, apakah takrifan paling sesuai digunakan untuk memastikan ia diterima sepenuhnya oleh ahli PAS?
PAS menjatuhkan hukuman hapus dan murtad ke atas UMNO dalam tempoh tiga hari - keadaan yang membawa rakyat kembali ke zaman PAS dilabel sebagai parti ekstrem. Apakah ini PAS yang difahami, dikenali dan diterima penyokongnya terutama kaum bukan Melayu?
Abdul Hadi telah meninggalkan pentas muktamar terakhir sebelum PRU-13 dengan membawa bersama bersama ketetapan perwakilan yang mahukan beliau menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang mentadbir negara.
Pecutan akhir PAS sebelum PRU-13 kelihatannya dilingkari beberapa beban ciptaan sendiri dan masa berbaki bakal menjadi pengukur setakat mana rakan sekutunya memahami konsep kerjasama seperti sewajarnya.
PAS boleh dengan sesuka hati menjatuhkan hukuman terhadap musuh politiknya tetapi pada masa yang sama, rakyat mempunyai hak lebih besar dalam mengenakan hukuman setimpal ke atas parti yang dilihat tidak membela nasib mereka.
Kredit: Artikel dipetik Berita Harian, 19 November 2012.
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..