#PrayForMH370

#PrayForMH370

Tuesday 10 June 2014

Malaysia Berdepan Sindrom Negara Maju, Mundur Akhlak



Keghairahan mengejar pembangunan dan status negara maju menyebabkan Malaysia berdepan sindrom kemajuan ekonomi dengan kemunduran moral yang dipanggil ‘Sindrom Budaya Chicago’. 

Profesor Ulung Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Prof Mohd Kamal Hassan, berkata matlamat negara berpendapatan tinggi akan tercapai tetapi turut diiringi kemunduran moral. 

Katanya, ia berikutan kemajuan ekonomi tidak diseimbangi dengan penerapan akhlak mulia dalam kehidupan. 

“Cuba lihat beberapa negara maju. Semuanya megah dengan bangunan pencakar langit tetapi menjelang malam, orang awam mulai bimbang. 

“Di Amerika Syarikat, tidak ramai yang berani berada di stesen kereta api bawah tanah (subway) selepas jam enam petang.

"Ia turut berlaku di Malaysia dan akan menjadi lebih parah jika tidak dibendung kerana nilai akhlak serta harga diri dilihat begitu rendah.

"Ini ketara menerusi jenayah seperti ragut hingga menyebabkan kematian, pembunuhan dan rogol beramai-ramai," katanya.

Beliau ditemui pada majlis Perbincangan Meja Bulat bertajuk 'Hala Tuju Pengajian Islam' anjuran Majlis Dekan-Dekan Pengajian Islam (MDPI) dan Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan di ISTAC UIAM, semalam.

Sesi dipengerusikan Pengerusi MDPI Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) merangkap Dekan ISTAC UIAM, Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Mohd Kamal berkala, kemajian masa kini diukur dengan kebendaan hingga mengabaikan sistem pendidikan dan kekeluargaan yang menjadi tonggak pembangunan masyarakat.

"Saya harap semua pihak termasuk kerajaan, pemimpin masyarakat dan keluarga berganding bahu dalam memastikan hala tuju pembangunan rakyat bergerak seiring dengan kemajuan.

"Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan keruntuhan moral seperti yang melanda negara maju lain," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...